Naib Presiden Bersatu Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berpelukan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas sidang media mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Media Utama Perikatan Nasional, Hotel Glenmarie & Golf Resort, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 19 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa tindakan segera diambil ke atas individu tertentu bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti itu.

Surat tanpa kepala surat rasmi yang tular itu mengandungi perkataan sulit, mencadangkan agar Bersatu menggantikan Naib Presidennya, Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Nama Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah tidak asing lagi bagi kita, di mana beliau dikenali sebagai timbalan presiden yang berperanan dalam menyusun atur dan menggerakkan kelompok ini.

“Beberapa pemimpin parti telah mengadakan perbincangan dan musyawarah, di mana kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai ketua pembangkang dan timbalan presiden perlu dinilai semula.

“Tindakan yang perlu diambil dengan segera adalah mempercepatkan prosiding Lembaga Disiplin terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” tulis dokumen tersebut.

Draf berkenaan diterima MalaysiaGazette awal pagi tadi dan didakwa berkaitan dengan satu perjumpaan yang dijadualkan berlangsung esok antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan semua ahli Parlimen parti itu di kediamannya.

Dalam kandungan dokumen sama, Bersatu turut diingatkan mengenai tujuan asal penubuhannya untuk membina sebuah platform politik yang bebas daripada pengaruh rasuah dan kronisme, selain komited memperbaiki ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, dokumen itu mendakwa terdapat pihak tertentu dalam parti yang kini bertindak di luar batasan dengan melanggar peraturan serta Perlembagaan parti demi kepentingan politik peribadi.

Kandungan surat tersebut turut menyatakan parti sebelum ini telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memecat dan menggantung beberapa ketua bahagian serta ahli Parlimen, namun tindakan itu didakwa “masih belum memadai” kerana individu utama dalam gerakan dalaman tersebut masih memegang jawatan penting.

“Tidak dapat dinafikan kebelakangan ini terdapat pihak-pihak tertentu yang bertindak di luar batasan dengan melanggar peraturan dan Perlembagaan parti, didorong oleh kepentingan dan keuntungan tersendiri terhadap kuasa dan jawatan.

“Parti telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan selaras dengan perlembagaan dan peraturan parti, termasuk memecat dan menggantung beberapa ketua bahagian serta ahli parlimen.

“Namun, tindakan mereka tidak terhenti di situ kerana individu yang menjadi operator utama dalam urusan ini masih memegang jawatan penting yang memberi ruang untuk membina kepercayaan palsu dengan tujuan menjatuhkan Presiden Pengasas,” menurut petikan dokumen itu.

Surat berkenaan turut menyebut kumpulan yang ingin menandatangani cadangan itu memberikan sokongan penuh kepada Muhyiddin kerana tanda tangan yang dikumpulkan adalah “bagi memberi sokongan penuh dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin selaku presiden.

Dokumen tersebut menegaskan tujuan utamanya adalah untuk memulihkan keadaan dalam parti serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Bersatu, sekali gus menggambarkan kegusaran terhadap kemelut dalaman yang semakin meruncing.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan reaksi balas daripada pucuk pimpinan Bersatu termasuk Hamzah dan Radzi Jidin berhubung penularan draf dokumen berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast