Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkeras untuk tidak tunduk dan berkompromi dengan permintaan segelitir pihak yang mahukan beliau berlembut dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan.

Tegasnya, isu kenderaan lebih muatan adalah satu masalah legasi dan hanya boleh ditangani dengan ketegasan dan iltizam politik yang kuat.

“Jangan datang ke Dewan Rakyat ini minta saya berlembut dengan orang-orang yang bawa kenderaan lebih muatan ini.

“Saya nak tegaskan saya tidak akan berkompromi dan tidak akan tunduk dengan mana-mana permintaan seperti itu. Kalau saya jadi one term minister pun sebab ini tidak mengapa.

“Bagi saya kalau saya boleh selesaikan isu ini, ia kepuasan yang begitu besar kerana ini satu isu legasi yang sudah berlaku selama berpuluh tahun. Tidak ada Menteri Pengangkutan yang berani memerangi isu ini,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan lebih muatan amat diperlukan kerana ia melibatkan isu nyawa dan perlu diutamakan.

“Betul ada ugutan nak berkumpul di Parlimen Rabu ini mungkin lori-lori nak parking depan Parlimen. Tapi kalau kita tunduk dengan ugutan begitu, kita tidak payahlah mentadbir.

“Jika kita nak bantu rakyat, kena lihat kepentingan seluruh rakyat bukan kepada segelintir sahaja. Ada yang masih tidak faham, kita fahamkan mereka,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya semua Ahli Parlimen sama ada dalam kalangan backbenchers mahupun pembangkang supaya menyokong usahanya memerangi masalah kenderaan lebih muatan.

“Jadi saya harap backbenchers boleh faham bahawa ketegasan ini sangat diperlukan kalau saya berlembut tidak ada masalah yang boleh diselesaikan. Jadi saya harap Ahli YB dapat memahami pendirian saya,” tegasnya.

Terdahulu, Anthony mengakui keputusannya untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap industri yang melanggar peraturan kenderaan lebih muatan dan menolak rundingan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak termasuk  dalam kalangan segelintir Ahli Parlimen.

Namun katanya, tindakan mengubah keputusan tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang telah berlanjutan berdekad lamanya di negara ini.

“Pada saat (kalau) kita buat soft landing, buat u-turn, perkara ini akan gagal. Tanpa satu keinginan politik yang kuat, ada tekanan daripada Ahli YB kemudian Menteri buat u-turn, mereka (pengusaha) di luar akan meraikan (suka).

“Saya faham Ahli YB ada tekanan daripada macam-macam pihak tapi dengar juga orang ramai, masyarakat umum berapa orang menyokong kita kuatkuasakan dengan tegas. Ramai yang menyokong kita.

“Jadi jangan bimbang, yang membantah itu bilangannya kecil saja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Anthony berkata antara manfaat terhadap ketegasan penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan bukan sekadar dapat menangani kemalangan malah memberikan imej yang bersih kepada pihak berkuasa yang berkaitan yang sebelum ini dilihat mudah menerima suapan.

“Dari segi manfaat jangka masa panjang kepada negara banyak kalau kita boleh selesaikan isu ini pertamanya pemandu lebih tenang tidak perlu takut dengan penguatkuasa.

“Kalau bagi kerjasama dengan tidak membawa kenderaan lebih muatan maka tiada lagi isu beri sogokan, saya tidak mahu JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dicemarkan dengan imej begitu saya tidak mahu mana-mana penguatkuasa kita dicemarkan dengan imej yang begitu negatif. Seolah-olah boleh paw (minta rasuah), makan pau boleh tapi jangan kena paw,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast