Lim Lip Eng

KUALA LJUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan sistem pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak telus bercanggah dengan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus baik yang diuar-uarkan kerajaan.

Malah, katanya, Ahli Parlimen Kuala Lumpur sendiri hanya mengetahui pelantikan Datuk Bandar itu melalui media, sama seperti rakyat biasa.

Menurutnya, tempoh 10 tahun lalu menyaksikan seramai enam Datuk Bandar Kuala Lumpur telah berkhidmat dengan dua daripadanya hanya dalam masa setahun lebih.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan perubahan drastik dan penambahbaikan yang dapat dicapai dalam tempoh perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang begitu singkat tersebut.

“Seorang bekas Datuk Bandar pernah memberitahu saya, beliau baru benar-benar menyesuaikan diri selepas setahun memegang jawatan namun terpaksa bersara pada tahun kedua.

“Jika kita bandingkan Kuala Lumpur 10 tahun dahulu dan sekarang, daripadaaspek kebersihan, kesesakan lalu lintas, infrastruktur, ekonomi dan keadaan kehidupan, adakah kita berada dalam keadaan yang lebih baik? Jawapannya tidak.

“Ini berpunca daripada pertukaran Datuk Bandar yang terlalu kerap. Kuala Lumpur tukar Datuk Bandar seperti tukar baju! Setiap kali pertukaran berlaku, pasti wujud dasar baru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Tambah Lip Eng, Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan hala tuju yang jelas dan lestari, bukan yang berbeza setiap dua tahun.

Katanya, Kuala Lumpur juga memerlukan tempoh perkhidmatan Datuk Bandar yang terjamin dan jawapannya terletak pada pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang boleh memberikan mandat lima tahun kepada Datuk Bandar dan ahli-ahli Majlis Bandaraya.

“Jika prestasi mereka baik dan diterima penduduk Kuala Lumpur, sudah tentu mereka akan menang dalam pilihan raya seterusnya,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, bantahan kuat terhadap pilihan raya PBT yang sering menggunakan alasan sentimen perkauman disifatkan tidak berasas.

“Apakah yang mereka takuti? Seperti dinyatakan YB Nik (Nik Nazmi Nik Ahmad), hampir separuh penduduk Kuala Lumpur adalah Bumiputera.

“Saya yakin personaliti seperti Khairy Jamaluddin atau Siti Nurhaliza mempunyai peluang besar untuk menang jika bertanding sebagai calon Datuk Bandar!” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, kepimpinan ibu kota, Kuala Lumpur memerlukan satu sistem yang stabil dan demokratik.

Jelasnya, pemulihan pilihan raya PBT adalah langkah terakhir untuk memutuskan kitaran pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak sihat ketika ini dan mengembalikan kuasa menentukan hala tuju Kuala Lumpur kepada mereka yang paling berhak iaitu warga Kuala Lumpur sendiri. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast