Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil media pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Program Pasar Patuh (3P) di Sunway Putra, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 546 kes pelbagai kesalahan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN KL) direkodkan sehingga Oktober tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Sabri Seman berkata, ia melibatkan tindakan bentuk kompaun, denda dengan jumlah nilai kesuruhan rampasan bagi tempoh itu mencecah RM4,509,966.

Pencapaian itu hasil pemeriksaan ke atas 34,566 premis di 11 Parlimen di Kuala Lumpur melibatkan 100 anggota penguat kuasa yang ditugaskan.

“Terkini pada hujung bulan lepas, kita telah buat serbuan di Petaling Street membabitkan rampasan besar sebanyak RM700,000 sebahagian besar rampasan tahun ini melibatkan barangan tiruan dan tong gas LPG.

“Setakat ini, kompaun turut merekodkan lebih RM700,000 dengan nilai denda sebanyak RM179,928,” katanya.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman bercakap pada media berkenaan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Program Pasar Patuh (3P) di Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik bersama KPDN KL di sini hari ini.

Tambah Mohd Sabri sehingga Oktober lalu, sebanyak 8,424 aduan pengguna telah diterima dan antara jumlah tertinggi berbanding negeri lain.

“Kita jangkakan menjelang akhir tahun ini akan mencecah 10,000 jumlah aduan pengguna yang biasanya kita uruskan dalam tempoh 24 jam.

“Daripada jumlah itu, aduan paling banyak direkodkan berkait harga mengelirukan sebagai kategori paling tinggi dan 98 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan tersebut berjaya diselesaikan,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, 1,242 Program Jualan Rahmah Madani telah dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur meliputi lima kaedah pelaksanaan iaitu premis, luar premis, bergerak, pasar, serta kampus universiti.

Mengulas mengenai KPDN KL menerima aduan dakwaan pengguna bayar lebih tetapi kuantiti petrol Budi Madani RON95 kurang, beliau berkata, tiada aduan rasmi diterima setakat ini.

Ujarnya lagi, trend aduan pengguna di Kuala Lumpur untuk tahun inj hampir sama seperti tahun sebelumnya namun tetap kekal direkodkan sebagai antara yang tertinggi di Malaysia.

“Kompetensi dan kesedaran pengguna di Kuala Lumpur adalah tinggi, sebab itu laporan dan aduan sentiasa aktif,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast