KUALA LUMPUR – Kerajaan optimis negara akan mencapai sasaran melahirkan 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, sasaran tersebut merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan serta fabrikasi wafer.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran dan elahdiserap ke dalam pelbagai segmen industri semikonduktor.
Antara universiti dan institusi yang terbabit dalam usaha ini antaranya Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pusat kemahiran seperti Malaysian Institute of Microelectronic Systems Berhad (MIMOS) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).
“Sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) pada Mei 2024, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dikenal pasti sebagai teras kritikal dalam memastikan kelestarian dan daya saing jangka panjang industri semikonduktor negara,” katanya ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Tambah Chin Tong, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 juga bakal menyedia beberapa insentif yang bersesuaian dengan pembangunan bakat bagi sektor semikonduktor turut diumumkan.
“Program K-Youth dan latihan TVET oleh Khazanah bagi menyediakan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor dengan peruntukan RM200 juta.
“Selain itu, Program Flagship IC Design juga akan diteruskan untuk melatih 2,500 tenaga bertaraf global dalam bidang reka bentuk litar bersepadu dengan nilai RM340 juta,” katanya lagi.
Selain itu, Chin Tong berkata, beberapa syarikat multinasional utama dalam bidang reka bentuk cip, fabrikasi dan ujian sudah aktif menjalin kolaborasi strategik dengan universiti awam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (Jerantut-PN) berhubung jumlah jurutera berkemahiran tinggi yang dilatih dan diserap ke industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan serta tahap kerjasama pembuat cip multinasional dengan universiti awam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri tersebut.-MalaysiaGazette
















