KUALA LUMPUR – Dalang yang terbabit dalam penyalahgunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori pembantu rumah sedang dikenalpasti dan dalam siasatan Jabatan Imigresan Malaysia (JIM) bagi memastikan modus operandi berulang itu dapat ditangani secara penuh.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, buat masa ini kes pembantu rumah yang dikesan menyalahgunakan PLKS tidak berada pada tahap serius hasil tindakan berterusan pihak penguat kuasa.
“Kita memandang serius perkara ini, dan jika ia ditahap kritikal, setiap operasi pasti akan menemui taktik yang sama.
“Tetapi kita tetap akan memantau supaya ia tidak berterusan dan kita akan siasat lebih lanjut termasuk mengenal pasti dalang.
“Jika ada maklumat daripada orang awam, saya mengalu-alukan mereka menyalurkannya kepada kami untuk tindakan segera
“Itu tindakan di peringkat JIM untuk kita kenal pasti isu ini dan jika ada maklumat daripada orang awam, saya mengalu-alukan mereka menyalurkan kepada kita untuk diambil tindakan segera,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Perayaan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Zakaria percaya ada warga asing termasuk pelayan pelanggan yang menggunakan PLKS pembantu rumah namun bekerja di tempat lain.
“Walaupun mereka mempunyai pas yang sah, ia tetap menjadi satu kesalahan apabila disalahgunakan,” ujarnya.
Beliau mengulas mengenai laporan mengenai seorang pembantu rumah warga Filipina yang ditahan disyaki menyalahgunakan pas tinggal di Malaysia dan menjadi presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Semalam, Wan Mohammed Saupee berkata, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika berkumpul bersama beberapa rakan senegara di sebuah sekolah antarabangsa di sini.
“Wanita berkenaan masuk ke Malaysia menggunakan PLKS kira-kira 20 tahun lalu sebelum menggunakan PLKS kategori pembantu rumah untuk terus tinggal di negara ini.
“Padahal pas itu hanya membenarkannya bekerja sebagai pembantu rumah di alamat majikan berdaftar mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, sebanyak 12,4627 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dilaksanakan sejak awal tahun sehingga semalam, 17 November.
“Kita juga telah melakukan pemeriksaan terhadap 213,454 warga asing dan daripada jumlah itu, 45,447 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen manakala 1,931 majikan turut dikenakan tindakan termasuk kompaun dan pendakwaan.
“Kesalahan paling ketara ialah ketiadaan dokumen perjalanan sah serta penyalahgunaan pas, selain kes-kes jenayah lain termasuk dadah yang dirujuk kepada kami untuk tindakan lanjut seperti pembatalan pas dan pengusiran,” jelasnya.
Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
“Tidak kira siapa sama ada Rohingya, Bangladesh, Indonesia atau mana-mana warga asing, jika mereka tidak mematuhi peraturan dan berada secara tidak sah, tindakan tegas akan diambil pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette
















