GEORGE TOWN – Isteri kepada Elmi Nu Zamani Aizat Azim, 25, mendakwa suaminya yang ditemui lemas selepas terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang meracau sejak dua minggu sebelum kejadian tragis itu.
Menurut Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, keadaan suaminya semakin merisaukan sehingga mereka mengambil keputusan berpindah dari rumah sewa di Padang Serai, Kedah ke rumah ibunya di Bertam, minggu lalu.
“Sehari sebelum kejadian kira-kira jam 4 pagi, arwah kejutkan saya daripada tidur sambil mendakwa ada individu mengejarnya, sebelum menangis dan memberitahu dia tak sampai hati nak tinggalkan saya serta anak-anak.
“Arwah pernah diberi ubat penenang oleh hospital untuk tenangkan keadaannya, selain keluarga juga bawa dia berubat secara rawatan Islam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Natasha berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh pihak polis kira-kira jam 8 malam Ahad melalui panggilan telefon.
“Saya memang tak percaya pada awalnya. Dia keluar pun sebab katanya nak ke kedai dobi. Saya tak syak apa-apa sebab memang selalu dia cuci pakaian sendiri.
“Malah sebelum keluar, dia beritahu saya dia solat taubat. Kalau saya tahu akan jadi macam ni, saya tak bagi dia keluar. Kami pun tak pernah cerita hal rumah tangga dengan sesiapa. Arwah pun tak pernah kongsi apa-apa masalah. Saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, Nurul Natasha yang sedang hamil lima bulan merayu orang ramai agar tidak membuat andaian atau menabur prasangka terhadap keluarganya.
“Saya minta tolong, jangan buat andaian. Orang tak berada di tempat saya yang sedang mengandung dan baru kehilangan suami,” katanya.
Mayat Elmi Nu Zamani yang dilaporkan terjatuh di Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, Ahad lalu ditemui dalam keadaan terapung berhamipran jeti di Pengkalan Weld di sini, jam 9.35 pagi tadi.
Mayat mangsa dijumpai masih lengkap berpakaian seluar jeans dan kemeja-T berwarna putih, setelah hampir 40 jam kehilangannya dilaporkan. – MalaysiaGazette















