Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Prosedur siasatan berkaitan rasuah melibatkan pemimpin di Sabah memerlukan bukti kukuh, kata Perdana Menteri.

Diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap individu dipercayai terkait dengan video mendakwa pemimpin negeri itu menerima rasuah bagi  mendapatkan lesen penerokaan mineral, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih diteruskan dan memerlukan masa.

Tambah beliau, tiada campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM berdasarkan kepatuhan prosedur yang ditetapkan.

“Pertama, mengenai video rasuah saya sendiri tonton saya anggap video itu hujahnya kuat untuk disiasat tapi yang siasat itu SPRM dan menurut agensi itu setelah rujuk Pejabat Peguam Negara (AGC) setakat ini ini, kes jenayah tidak ada time limitation (had waktu)… Pasir Mas kena sabar setakat ini tiga didakwa (tapi) tidak dilepaskan semua yang lain.

“Saya tidak mahu mengarahkan.. mesti dakwa berdasarkan video. Bagi saya, harus disiasat, proses itu kita kena ikuti masa,” katanya menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas- PN) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli bertanya tentang apa sebenarnya ‘membelenggu tangan dan kaki’ Perdana Menteri untuk memerangai rasuah dalam negara.

Dalam pada itu, Anwar juga memberi jaminan sesapa sahaja yang terbukti terkait dengan kes tersebut tidak akan terkecuali daripada pendakwaan mekipun daripada kalangan parti kerajaan sendiri.

“Apakah yang didakwa ini kononnya parti bersama? Dua yang didakwa itu orang parti Kerajaan Perpaduan, jadi bukan kita melindungi.

“Apa yang PM harus lakukan? Beri arahan kukuh jangan kecualikan sesiapa tapi bukti yang kuat tapi belum ditutup kes mereka itu maklumat yang sampai kepada saya,” ujarnya.

Sebagai rekod, ahli perniagaan, Albert Tei yang menyiarkan beberapa video mendakwa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerima rasuah baru-baru ini dilaporkan telah menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada SPRM.

Ia termasuk yang didakwa sebagai jejak aliran wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat sebagai bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuat dalam video.

Daripada 14 ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam video itu kini sudah didakwa di mahkamah iaitu Datuk Andi Muhammad Suryady dan Datuk Yusof Yacob.

Dalam masa yang sama, ahi perniagaan itu turut didakwa memberi rasuah kepada mereka berjumlah RM500,000.

Meskipun, Andi dan Yusof tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini namun 10 orang termasuk Ketua Menteri Sabah sementara, Datuk Hajiji Noor masih mempertahankan kerusi masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast