KEPALA BATAS – Seorang juruteknik syarikat swasta kerugian lebih RM600,000 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud menggunakan nama Ethereal Capial.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 57 tahun itu dikatakan mula terjerat selepas melihat iklan pelaburan tersebut ketika melayari Facebook pada awal September lalu sebelum berhubung dengan seorang wanita melalui WhatsApp.
Jelas beliau, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp Ethereal Capial dan diterangkan mengenai skim yang menawarkan pulangan antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh sehari hingga lapan hari.
“Lelaki itu kemudian diminta memuat turun aplikasi Ethereal Capial untuk mendaftar sebagai ahli sebelum memulakan pelaburan.
“Pelaburan pertama dilakukan pada 5 September dengan memasukkan RM300 ke akaun CIMB milik individu dan pada hari sama, mangsa (dakwa mendapat) keuntungan RM32,200.
“Tertarik dengan pulangan itu, mangsa menambah pelaburan sebanyak RM200,000 selepas dimaklumkan kononnya jumlah itu mampu menghasilkan keuntungan RM700,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Azizee, setiap kali mangsa mahu mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran cukai dan caj pemprosesan sebagai syarat pengeluaran.
“Dalam tempoh 5 September hingga 11 November, mangsa membuat 62 transaksi ke 36 akaun bank berbeza.
“Dia mula curiga apabila tidak dapat mengeluarkan wang dan suspek tetap mendesak bayaran tambahan.
“Mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan RM602,051.56 kemudian membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara semalam,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette















