Mendiiang Ivana Esther Robert Smit

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan kerajaan menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit sementara menunggu rayuan diputuskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kerajaan tanpa kos selepas berpuas hati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan diberikan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Ibrahim dan Datuk Dr. Lim Hock Leng berpendapat, jika penangguhan dibenarkan sekalipun, ia tidak akan memprejudiskan ibu model itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

Bagaimanapun, panel itu berpendirian, jika permohonan penangguhan tidak dibenarkan, ia boleh meninggalkan kesan yang tidak dapat diubah kepada pihak kerajaan.

Oleh yang demikian, koram berkenaan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 29 Julai lalu sementara menunggu rayuan kerajaan dilupuskan.

Kerajaan mengemukakan permohonan baharu di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi sama pada 13 November lalu tidak membenarkan pembayaran ganti rugi ditangguhkan.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Mohammed Zaini menyatakan, prinsip asas kepada permohonan penangguhan menyatakan ia boleh diberikan dalam keadaan istimewa selepas mempertimbang keadilan terhadap pihak-pihak.

Beliau berkata, pada peringkat ini, mahkamah belum menentukan merit rayuan namun panel berpendapat wujud isu yang boleh dibangkitkan dalam rayuan kelak terutama melibatkan perintah mandamus Mahkamah Tinggi.

“Jika penangguhan tidak dibenarkan, kami berpendapat wujud risiko sebenar terhadap perayu (kerajaan) yang akan menyebabkan kepentingan perayu terjejas jika rayuan dibenarkan,” ujarnya.

Hakim Mohamed Zaini selanjutnya berkata, Mahkamah Tinggi juga telah mengarahkan ganti rugi dibayar segera ke dalam akaun pemegang kepentingan peguam responden.

Namun katanya, perayu telah menjelaskan bahawa sebagai sebuah agensi kerajaan, proses pembayaran tidak semudah itu kerana ia perlu melalui pelbagai kesukaran.

“Kami ambil perhatian bahawa tidak wujud risiko sebenar jika pembayaran tidak dilunaskan segera, namun jika rayuan gagal, kerajaan akan menguatkuasakan perintah pembayaran.

“Mengekalkan status quo dalam ganti rugi yang diberikan tidak akan memprejudiskan responden kerana jumlah yang diberikan bukanlah keuntungan kewangan,” ujarnya.

Pada prosiding itu, pihak kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin manakala responden diwakili peguam Datuk S.N. Nair.

Pada 29 Julai lalu, Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi itu selepas berpuas hati terdapat kecuaian polis dalam mengendalikan siasatan kematian model berkenaan pada 2017.

Mendiang yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Pada 14 November lalu, Nair dalam kenyatannya berkata, kerajaan mempunyai tempoh 48 jam supaya mematuhi perintah supaya membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda itu.

Katanya, jumlah itu perlu dimasukkan serta merta ke dalam akaun anak guam yang ditadbir oleh firma guamannya.

Melalui penghakimannya dalam kes saman yang difailkan Christina, Hakim Roz Mawar juga memutuskan terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

Dalam tuntutan saman itu, Christina menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast