Dr. Fuziah Salleh menyantuni pengunjung ketika Program Jualan Rahmah Madani bersempena dengan Majlis Pembukaan Rasmi Pasar Raya Nirwana Hypermarket Kuantan baru-baru ini.-(GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Potongan harga 10 hingga 30 peratus barangan yang dijual pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tidak boleh dilaksanakan di pasaran biasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, kerajaan tidak boleh memaksa pasar raya atau peruncit untuk melaksanakan potongan harga sedemikian sepanjang masa kerana negara mengamalkan pasaran terbuka.

“Kalau kita mahu menyuruh para peruncit untuk menjual dengan kadar potongan harga yang sama maka ia memaksa harga jualan sedangkan kita tidak mengawal harga jualan melainkan beberapa keperluan asas.

“Jadi keadaan itu tidak mungkin boleh berlaku dalam keadaan pasaran terbuka,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar-PN) di Dewan Rakyat hari ini.

Muslimin sebelum itu bertanya sama ada kerajaan boleh melaksanakan potongan harga yang sama ketika PJRM di pasaran biasa.

Dalam pada itu, Fuziah menambah, potongan harga barangan ketika program tersebut merupakan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

Sebagai rekod, PJRM merupakan inisiatif KPDN untuk membantu rakyat berjimat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran biasa.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Payung RAHMAH dan berlangsung di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast