KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara yang runtuh menghempap sebuah kereta di MRR2 FT28 (arah Batu Caves) petang tadi telah dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berkata, laluan terlibat kini telah dibuka semula untuk kegunaan orang awam.

Namun, sebagai langkah keselamatan, semua kerja pembinaan di kawasan terlibat telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, struktur sementara “temporary steel canopy” tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya serta memudahkan pelaksanaan kerjakerja RUB #16.

Kerja-kerja pembinaan RUB #16 telah disiapkan pada Oktober 2025 dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November 2025 selepas
menerima kelulusan agensi terlibat.

MRL berkata,  ECRL akan memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan yang berkaitan.

Tambahnya, pihak ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam, dan pekerja projek. Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di lokasi berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Binaan ECRL di MRR2 runtuh hempap kereta dipandu wanita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast