KUALA LUMPUR – Lelaki dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini disahkan sebagai penyelia tapak projek penambahbaikan sungai di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa dikenal pasti iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.
“Paras air sungai setakat ini berketinggian hampir enam meter dan operasi pencarian giat diteruskan bermula dari lokasi insiden terbabit.
“Berdasarkan kejadian tular itu, mangsa dikesan cuba keluar dari keretanya dan cuba menyelamatkan diri namun air terlampau deras sebelum menghanyutkannya,” katanya pada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sazalee juga memaklumkan, operasi pencarian dan menyelamat (SAR) mangsa akan dilaksanakan semampu mungkin bagi mengesan mangsa.
Terdahulu, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, operasi diteruskan mangsa yang memasuki hari kedua, diperluaskan sehingga ke kawasan Selangor.
“Laporan terkini pukul 9.30 pagi hari ini, operasi pencarian mangsa disambung dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan kaedah pencarian di permukaan air.
“Ia akan melalui susur Sungai Klang sehingga ke kawasan Negeri Selangor dan operasi pencarian mangsa juga menggunakan dron,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur terutamanya hujan di kawasan utara menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan arus yang deras menyukarkan operasi penyelamatan.
Sebelum itu, media melaporkan, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Jalan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 10 warga asing berjaya diselamatkan.
Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali untuk kesemua mangsa namu seorang mangsa didapati hanyut dibawa arus sungai. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Ops SAR lelaki hilang dihanyutkan arus deras Sungai Klang diteruskan
















