KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah memberikan Perintah Penggantungan Operasi Sementara kepada tiga buah syarikat lombong yang tidak mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong
(SKSPM).
Tiga syarikat terbabit melibatkan perlombongan bijih timah iaitu Asiatic Mine Sdn. Bhd./Nalidah Tin Mine Sdn. Bhd. dan Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. serta satu Rare Earth Carbonate (REC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak/ MCRE Resources Sdn. Bhd.
Perintah itu dikeluarkan susulan hasil pemeriksaan serta pensampelan kualiti air oleh JMG di beberapa kawasan perlombongan di Hulu Perak berikutan aduan pencemaran Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak.
“Hasil siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan berkenaan pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen serta pengurusan penggunaan bahan kimia.
“JMG telah menguatkuasakan Perintah Penggantungan Sementara Operasi Perlombongan kepada beberapa pengusaha lombong selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525], sehingga semua langkah pembetulan dan penambahbaikan teknikal
dilaksanakan serta disahkan oleh jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
NRES menegaskan, komitmen kerajaan dalam memastikan semua aktiviti perlombongan di Malaysia termasuk perlombongan bijih timah dan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan secara bertanggungjawab, mampan dan beretika serta selaras dengan peruntukan perundangan yang mengawal selia aktiviti industri mineral dari peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Jelasnya, dalam usaha memastikan industri mineral negara lestari dan berintegriti, kerajaan dalam tindakan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu bagi mengawal selia aktiviti industri mineral, selaras dengan prinsip ’Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus’ (ESG) sebagai asas amalan perlombongan moden.
Dari sudut alam sekitar, NRES dan JMG tidak berkompromi terhadap pelepasan efluen tidak dirawat; pengendalian bahan kimia mesti selamat dan terkawal, serta kawalan hakisan, sedimen dan pemantauan kualiti air perlu berfungsi sepenuhnya, tambahnya.
“Keselamatan komuniti dan pekerja menjadi keutamaan melalui komunikasi risiko yang jelas dan pematuhan ketat tatacara keselamatan. Semua operator wajib mematuhi syarat-syarat kelulusan lesen dan permit berkaitan seperti SKSPM serta pematuhan terhadap Akta 525 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” ujarnya.
Tegasnya, bahan-bahan kimia yang digunakan dalam industri mineral perlu dikendalikan mengikut tatacara dan amalan yang diluluskan dan perawatan efluen adalah diwajibkan sehingga mematuhi had yang dibenarkan sebelum memasuki sistem aliran setempat dan semua efluen perlombongan mesti memenuhi Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 yang mana air sisa wajib dirawat sepenuhnya sebelum dilepaskan.
Keupayaan loji rawatan efluen perlu sentiasa ditambah baik menggunakan teknologi moden termasuk pemantauan masa nyata.
Menurutnya lagi, kerajaan memberi keutamaan kepada perlindungan sungai dan sistem saliran setempat termasuklah air bawah tanah dan kesihatan sungai menjadi indikator utama kelestarian industri mineral serta asas kepada keyakinan awam dan pelabur. – MalaysiaGazette















