KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk tempoh dua tahun.
Bekas Peguam Negara itu dilantik oleh Perdana Menteri menurut perenggan 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).
Berdasarkan warta kerajaan bertarikh semalam yang diperolehi pihak media hari ini, pelantikan itu berkuatkuasa mulai 15 November 2025 hingga 14 November 2027.
Ahmad Terrirudin mengisi kekosongan keanggotaan JAC selepas Hakim Zabariah Mohd. Yusof bersara wajib pada usia 66 tahun (selepas lanjutan masa perkhidmatan selama enam bulan), bulan lalu.
Semakan terhadap laman web JAC yang dikemas kini semalam menunjukkan nama Ahmad Terrirudin telah tersenarai sebagai salah seorang daripada sembilan ahli suruhanjaya itu.
Di bawah akta itu, empat hakim tertinggi dalam badan kehakiman secara automatik menjadi ahli JAC.
Keanggotaan JAC terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh diikuti Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.
Namun masih wujud satu kekosongan selepas Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersara daripada jawatan Hakim Besar Malaya, minggu lalu.
Anggota lain terdiri daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr. Hartini Saripan.
Menurut laman web JAC, badan kehakiman kini mempunyai seramai 10 hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan (32), hakim Mahkamah Tinggi (74) dan pesuruhjaya kehakiman (39). – MalaysiaGazette
















