Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegur kerajaan kerana didakwa menggunakan aset rasmi dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, meskipun Perdana Menteri menjelaskan penggunaan kenderaan rasmi dan pengiring adalah untuk keselamatan dan tugasan rasmi.

Menurut Bersih, pihaknya mengakui aspek keselamatan Perdana Menteri dan menteri tertentu tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan menggunakan jentera kerajaan ketika kempen.

“Kenyataan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum Sabah tidak selari dengan pemerhatian kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bersih mencadangkan kos perjalanan hendaklah ditanggung parti seperti amalan Dr Mahathir pada PRK Cameron Highlands 2019 dan Bangkok Declaration on Free and Fair Elections yang menuntut pemisahan jelas antara sumber kerajaan dan parti dalam kempen pilihan raya.

Selain itu, Bersih berkata, pemerhatian mereka menunjukkan program kerajaan seperti Jualan Ehsan Rakyat terus diadakan di kawasan pilihan raya, memberi manfaat material kepada pengundi dan mewujudkan persepsi kelebihan kepada pihak pemerintah.

Bersih juga menegur pengumuman peruntukan RM62.76 juta projek infrastruktur di Tawau selepas pembubaran DUN Sabah, kerana berpotensi memberi kelebihan politik dan menjejaskan prinsip pilihan raya adil.

“Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil. Pemisahan urusan kerajaan dan parti perlu jelas agar pilihan raya kekal bersih dan bebas,” katanya.

Bersih menggesa SPR dan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said mempercepat pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, dengan cadangan sudah diserahkan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast