Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji cadangan menempatkan anggota polis di sekolah yang berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, buat masa sekarang, semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara memiliki Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

“PDRM mempunyai seramai 10,435 PPS di 10,245 sekolah membabitkan 7,776 sekolah rendah dan 2,469 sekolah menengah tanpa mengira sama ada di bandar mahu pun luar bandar.

“Bandar atau tidak bandar, kita memang tempatkan pegawai dan sedang mengkaji untuk menempatkan dan memberi tumpuan kepada sekolah berisiko tinggi,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung perancangan kerajaan untuk menempatkan PPS di sekolah luar bandar berbanding sekolah di bandar.

“Kita buat melalui peti aduan murid dan ibu bapa, malah, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada PDRM melalui aplikasi.

“PDRM melalui PPS membuka ruang untuk mana-mana pihak membuat aduan. Kita bersedia untuk tidak hanya menerima maklumat daripada pihak pentadbir malah warga sekolah juga boleh memberi aduan terus kepada polis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast