SUBANG JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membenarkan pemborong serta peruncit menyimpan bekalan makanan lebih 30 peratus daripada had sedia ada sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan keberadaan bekalan baran gan makanan terutama barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga berpatutan sebagaimana ditetapkan kerajaan.
“Bila kita benarkan pemborong simpan lebih stok iaitu 30 peratus lebih, apabila berlaku banjir contohnya di LPT dan jalan terputus.
“Lori bekalan tidak boleh masuk ke Kelantan dan Terengganu maka bekalan akan terputus maka kita benarkan pemborong menyimpan stok lebih dan perkara itu kita boleh elakkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 di pasar raya Mydin, di sini, hari ini.
Jelas Fuziah, kebenaran itu diberikan kepada 2,102 Peruncit Terpilih Daerah (Dedicated District Retailer) dan DDW iaitu Pemborong Terpilih Daerah (Dedicated District Wholesaler) bagi setiap daerah di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, langkah itu adalah antara pelan kontingensi banjir KPDN bagi memastikan bekalan keperluan mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga ditetapkan sepanjang MTL.
“Kita bagi pemborong lesen untuk simpan barang kawalan mana-mana boleh simpan beras, gula untuk persediaan musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 “Lokal Lagi Gempak” bersama Mydin digerakkan KPDN sebagai usaha berterusan dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan memperkasakan produk tempatan.
“Pada tahun lepas peningkatan jualan lebih kurang 10 peratus jadi kalau kita unjurkan lebih kurang 10 peratus jangkaan penambahan nilai jualan.
“Ujuran itu bersandarkan kepada penambahan lebih RM10 juta peruntukan tahun ini,” katanya.
Jelas Fuziah, inisiatif ‘Lokal Lagi Gempak’ di bawah KPDN ini membuktikan komitmen pasar raya Mydin dalam membantu kerajaan memperluas capaian dan kebolehpasaran produk tempatan.
Selain menyediakan ruang pasaran, pasar raya Mydin turut berperanan sebagai saluran komunikasi dan promosi yang berkesan dalam mengetengahkan produk tempatan kepada pengguna, sekali gus menyokong usahawan tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Sejajar dengan usaha ini, KBBM pada tahun 2025 diteruskan melalui kerjasama strategik dengan 18 rakan industri termasuk pasar raya besar serta tiga platform e-dagang.
Jalinan kerjasama ini menjadi kesinambungan kepada sokongan yang diberikan sebelum ini dan merupakan pemangkin kepada kejayaan KBBM, hasil pelaksanaan inisiatif strategik bersama rakan-rakan industri dalam rangkaian peruncitan fizikal dan platform pemasaran dalam talian. – MalaysiaGazette
















