GEORGE TOWN – Operasi risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu membawa kepada penemuan sebuah tapak memproses minyak hitam tanpa permit, dengan rampasan bernilai RM3.74 juta di Klang, Selangor semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan jam 9 pagi itu dilakukan Unit Risik Marin (URM) Pelabuhan Klang bersama Cawangan KDNKA IPD Klang Utara selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti memproses minyak hitam di kawasan berkenaan.
Jelas beliau, hasil pmeriksaan premis terserbut beroperasi tanpa sebarang permit sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang juga pemilik premis gagal mengemukakan dokumen perniagaan yang sah ketika pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebanyak 56 skid tank bernilai RM1.12 juta serta lebih 1.3 juta liter minyak hitam terpakai ditemui di tapak tersebut dan semuanya disita.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3.74 juta,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kes diserahkan kepada JAS serta MPK untuk tindakan lanjut mengikut akta di bawah bidang kuasa masing-masing. – MalaysiaGazette
















