KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Selayang hari ini memerintahkan seorang wanita tempatan yang bertindak agresif di sebuah klinik kesihatan semalam dihantarkan ke Hospital Bahagia untuk penilaian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, wanita yang berusia 20-an itu telah didakwa di mahkamah pagi tadi.
Menurutnya, wanita yang datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan bersama anaknya yang berumur dua tahun telah bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada kakitangan awam dan pesakit lain.
“Wanita itu turut meludah dan berdiri di atas kerusi menunggu sambil memaki hamun kakitangan klinik dan orang awam di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada 19 November kira -kira jam 12.25 tengah hari yang dibuat oleh seorang kakitangan klinik di Balai Polis Gombak.
“Suspek ditahan pada hari yang sama dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995,” ujarnya
Menurut Noor Ariffin, mahkamah memutuskan sebutan semula kes adalah pada 19 Disember depan dan tiada ikat jamin ditawarkan.
“Tertuduh juga akan dihantarkan ke Hospital Bahagia untuk penilaian,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu tular rakaman memaparkan seorang wanita mengamuk di Klinik Kesihatan Gombak Setia sehingga mengganggu ketenteraman orang awam di premis terbabit.
Difahamkan, suspek mempunyai masalah mental namun tidak menerima sebarang rawatan sejak anaknya dilahirkan. -MalaysiaGazette
















