KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berulang melibatkan sistem pengangkutan awam negara.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan tidak boleh terus “berada di tempat sama” setiap kali berlaku kemalangan atau gangguan operasi dalam sistem pengangkutan.
Menurut Dominic, sikap pemimpin kerajaan ketika ini bercanggah dengan pendirian mereka sewaktu menjadi pembangkang dahulu.
“Dulu, ketika menjadi pembangkang, pemimpin-pemimpin DAP lantang menuntut laporan penuh, siasatan terperinci dan mendesak menteri meletak jawatan setiap kali berlaku kemalangan.
“Namun selepas berada dalam kerajaan, bukan sahaja nada mereka berubah, malah keberanian untuk mengkritik pun hilang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pembangunan sistem pengangkutan awam negara masih terhad dan gagal mencapai rangkaian menyeluruh seperti yang sepatutnya.
Mengulas insiden monorel terhenti di Medan Tuanku semalam, Dominic berkata, kegagalan sedemikian boleh dielakkan sekiranya penyelenggaraan dilakukan secara berkala dan teratur.
“Loke Siew Fook sebagai menteri gagal memastikan operasi pengangkutan awam berjalan dengan selamat dan lancar.
“Jika perkara asas pun tidak mampu diurus, bagaimana rakyat mahu menaruh harapan untuk menikmati sistem pengangkutan yang moden, mudah dan menyeluruh?” ujarnya.
Dominic turut mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai kecenderungan kerajaan persekutuan untuk “melindungi” anggota Kabinet meskipun insiden terus berlaku.
“Sebuah kerajaan yang mendakwa memperjuangkan reformasi, ketelusan dan akauntabiliti seharusnya mempamerkan tindakan, bukan sekadar slogan. Tetapi di bawah kerajaan Anwar, menteri yang gagal tetap dikekalkan seperti tiada apa-apa berlaku,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan sikap pemimpin Pakatan Harapan yang menurutnya kini “membisu” dalam mendesak laporan teknikal penuh atau tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Tanpa akauntabiliti, di mana reformasi yang dijanjikan? Sikap ini hanya mendedahkan hakikat bahawa Perdana Menteri sendiri enggan memikul tanggungjawab dan lebih gemar menafikan kelemahan pentadbirannya,” tambah beliau. — MalaysiaGazette
















