KUALA LUMPUR – Pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) digerakkan segera ke Sekolah Kebangsaan Baling, Kedah susulan kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi bagi menjalankan penilaian awal terhadap tahap keselamatan struktur bangunan yang terjejas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan pantas itu diambil sejurus pihak berkuasa mengesahkan keadaan di lokasi selamat untuk dimasuki kerana keselamatan warga sekolah menjadi keutamaan kementeriannya.
“KKR memandang serius insiden ini dan bersimpati dengan pihak sekolah, warga pendidik serta para pelajar yang terkesan.
“Fokus utama ketika ini ialah memastikan keselamatan semua pihak terjamin serta menilai keadaan struktur bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, KKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan bagi tindakan susulan, termasuk kerja-kerja pembaikan dan pelaksanaan langkah keselamatan yang diperlukan.
Terdahulu, insiden kebakaran itu mengejutkan penduduk setempat apabila api dan asap tebal dilihat memenuhi bahagian bumbung sebuah blok sekolah berkenaan pada pagi cuti hujung minggu negeri itu. – MalaysiaGazette















