Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar bercakap pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum mengenai bantahan terhadap Ketua Pemuda DAP yang mengamalkan politik tidak berakhlak di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menzahirkan rasa kecewa dan mengecam tindakan Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong yang disifatkan sebagai rendah akal budi serta bercanggah dengan etika politik bermaruah.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menuntut agar Kah Leong memohon maaf secara terbuka serta menarik balik hantaran kandungan tersebut di semua platform media sosial rasmi dan tidak rasmi di bawah seliaan DAP serta sekutunya.

“Kami menuntut agar Ketua Pemuda DAP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik hantaran kandungan tersebut di semua platform media sosial rasmi dan tidak rasmi di bawah seliaan DAP serta sekutunya.

“Kami mendesak agar Pemuda DAP bermuhasabah dan refleksi diri serta hala tuju organisasi mereka ke arah budaya politik baharu yang lebih matang dan sejahtera,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan ke ibu pejabat DAP, pagi ini.

Mohamed Sukri berkata demikian mengulas tindakan Kah Leong yang memuat naik gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam keadaan terlantar di katil yang didakwa telah diubah suai.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar ketika hadir untuk menyerahkan memorandum mengenai bantahan terhadap Ketua Pemuda DAP yang mengamalkan politik tidak berakhlak di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 NOVEMBER 2025

Memorandum lima muka surat itu diserahkan Mohamed Sukri kepada salah seorang kakitangan parti itu jam 11.30 pagi tadi.

Mohamed Sukri turut mendesak agar Pemuda DAP itu bermuhasabah dan membuat refleksi diri terhadap hala tuju organisasi mereka ke arah budaya politik baharu yang lebih matang dan sejahtera.

Dalam masa sama, Pemuda Pas Selangor menyatakan kesediaan untuk menerangkan konsep Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh Pas kepada Kah Leong sebagai langkah mendidik dan membimbing beliau memahami nilai politik adab serta kemanusiaan sebenar.

“Kami bersedia dengan lapang dada untuk menerangkan konsep Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh Pas kepada Ketua Pemuda DAP sebagai langkah mendidik dan membimbing beliau untuk memahami nilai politik adab dan kemanusiaan yang sebenar,” jelasnya.

Menurut beliau, Pemuda Pas Selangor turut menggesa semua pemimpin muda pelbagai parti agar meninggalkan budaya politik tidak bertamadun dan sebaliknya membina politik progresif berteraskan perbincangan dasar demi kepentingan rakyat.

“Pemuda Pas Selangor menggesa semua pemimpin muda pelbagai parti untuk meninggalkan budaya politik tidak bertamadun, membina politik progresif, dan mengutamakan perbincangan berasaskan dasar demi kepentingan rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan semua parti politik supaya memperkukuh disiplin etika, khususnya dalam penggunaan media sosial bagi menghalang penyebaran politik penghinaan dan provokasi yang tidak bermaruah.

“Kami menyarankan agar semua parti memperkukuh disiplin etika politik, khususnya dalam media sosial, sebagai mekanisme menghalang penyebaran politik penghinaan dan provokasi yang tidak bermaruah,” tambahnya.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan Kah Leong itu biadab malah hantaran dibuat pemimpin DAP itu di Facebook menggambarkan kerdilnya kemampuan beliau berhujah secara intelek apabila memilih menyerang peribadi tokoh berusia itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast