SHAH ALAM – Pegawai bank sepatutnya menjaga integriti dan tidak menerima rasuah.
Demikian antara peringatan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud ketika memberikan hujah penghakimannya selepas bekas pegawai bank mengaku bersalah terhadap empat tuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM7,212.
“(Hukuman) ini sebagai peringatan semua masyarakat terutama yang bekerja di industri perbankan bahawa mereka perlu jaga integriti.
“Ia akan beri satu mesej yang salah kalau perbuatan ini meningkat dan berleluasa, dan akan hilangkan keyakinan masyarakat termasuk keyakinan pelabur terhadap (industrsi) perbankan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Fauran Mohd Nawawi, 35 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Lelaki itu antara 10 Ogos 2018 hingga 4 April 2019 dituduh menerima rasuah daripada Firma Guaman Erifarizan & Hilyatu sebagai upah mencadangkan syarikat itu menyediakan perjanjian perumahan.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam itu turut berdepan empat tuduhan utama.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM16,000 kepada Mohd Fauran.
Selain Fauran seorang lagi bekas pegawai bank mengaku bersalah atas lima tuduhan pilihan bagi pertuduhan yang sama
Mohd Khairuddin Jamaluddin yang dituduh berasingan berdepan 10 pertuduhan utama dan pilihan menrima rasuah lebih RM14,000 daripada syarikat firma yang sama, bagi tujuan yang sama.
Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 antara 20 Julai 2018 hingga 8 Febuari 2023.
Mohd Khairuddin kemudian diperintah membayar RM20,000 dan 20 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Pengakuan bersalah dibuatnya di depan Hakim, Datuk Mohd Nordin.
Sementara itu, seorang wanita Riyuni Usri yang berdepan 20 pertuduhan utama dan pilihan mengaku tidak bersalah menerima suapan lebih RM9,000 daripada firma yang sama untuk tujuan yang sama.
Wanita yang diwakili peguamnya Muhamad ‘Aizat Adli didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 Oktober 2018 hingga 3 September 2019.
Hakim menetapkan jaminan RM5,000 dan memerintahkannya melaporkan diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 21 Januari 2026.
Kesemua kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee. -MalaysiaGazette
















