Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah perlu membuat keputusan tegas pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), 29 November ini dengan tidak membenarkan mereka terpalit dengan imej menyokong rasuah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cara paling jelas adalah dengan menolak calon-calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang kini terbukti gagal menunjukkan integriti.

Beliau turut membangkitkan berkenaan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini yang menyentuh mengenai kontroversi penggunaan surat sokongan membabitkan Setiausaha Politik Kanannya.

Tegas beliau, jawapan Anwar yang sekadar memberi teguran keras terhadap kontroversi itu sekali lagi menyerlahkan sikap sambil lewa Perdana Menteri dalam isu rasuah di bawah pentadbirannya sendiri.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh melaungkan perang terhadap rasuah, sedangkan isu membabitkan Setiausaha Politik Kanan beliau hanya dijawab dengan teguran dalaman?

“Pejabat PM adalah jantung pentadbiran negara dan ia mesti menjadi contoh ketelusan, bukan perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, tambah Tuan Ibrahim, corak perlindungan dalam kes sebegitu juga didakwa berulang.

Ujarnya, apabila kes melibatkan individu rapat dengan Perdana Menteri dan kerajaan PH-BN, pendirian Anwar tiba-tiba lembut dan longgar.

Namun, kata beliau, apabila kes melibatkan pihak lawan, Anwar begitu lantang dan agresif.

“Sikap memilih bulu ini bukan sahaja memalukan institusi Perdana Menteri, malah membenarkan pandangan rakyat bahawa PMX (Anwar) hanyalah beretorik,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya Perdana Menteri benar-benar serius memerangi rasuah, beliau mesti berani membersihkan lingkungannya sendiri dengan mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara menyeluruh, bukan sekadar memberi amaran, memandangkan ketegasan tidak boleh selektif.

“Rakyat Sabah berhak kepada kepimpinan yang benar-benar jujur, bukan slogan kosong.

“Masa depan negeri ini terlalu berharga untuk diserahkan kepada parti yang tidak mampu menjaga integriti sendiri.

“Sabah perlukan kepimpinan sebenar – bukan retorik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast