Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 6 Mac tahun depan bagi mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan 12 akaun pelaburan di sebuah negara yang didakwa milik balu seorang tokoh perniagaan, keluarga dan sekutunya.

Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin turut membenarkan permohonan sembilan pihak untuk mencelah dan dinamakan sebagai responden dalam permohonan tersebut.

Mahkamah memutuskan demkian selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili balu itu.

Prosiding itu turut hadiri peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili sembilan pihak terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat tidak membantah permohonan pihak-pihak untuk mencelah serta relif yang dipohon.

Selain permohonan untuk mencelah, mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan (gag order) bahawa segala maklumat sulit dan peribadi termasuk nama, pemilikan, lokasi, nilai dan apa juga butiran berkaitan aset yang dipertikaikan, tidak didedahkan kepada umum.

“Segala butiran sulit dan peribadi yang berkaitan dengan permohonan adalah dihalang untuk didedah, dirumus, diberikan akses atau disampaikan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak,” demikian menurut perintah itu.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada beberapa pihak antaranya hakim Mahkamah Tinggi, timbalan pendaftar, pendakwa raya, pegawai mahkamah yang membantu secara langsung dalam permohonan pembekuan akaun pelaburan itu.

Mahkamah turut membenarkan semua terma dan syarat berkaitan perlindungan maklumat terus berkuat kuasa dan mengikat selagi mana maklumat itu kekal sulit dan rahsia termasuk selepas permohonan pembekuan, dilupuskan.

SPRM memohon perintah mahkamah untuk membekukan harta itu selepas hasil siasatan awal dipercayai menunjukkan sumber pendapatan negara itu tidak pernah diisytiharkan.

Pendakwaan mahukan harta tersebut dibekukan sebelum ia dilupuskan, selain menyatakan perintah pembekuan adalah bagi memastikan status quo harta tidak dilupuskan sementara siasatan dijalankan.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan seorang tokoh perniagaan serta keluarga dan proksi.

Azam berkata, maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset tokoh perniagaan, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast