KOTA KINABALU – Di kampung-kampung pedalaman Sabah, cerita anak muda biasanya berakhir di simpang yang sama iaitu tamat SPM, kerja kampung, datang bandar sebagai buruh kasar atau terus menganggur.
Hari ini skrip itu sedang diubah.
Ada satu perkataan yang makin kerap disebut di balai raya, dewan serbaguna dan sekolah luar bandar iaitu TVET – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional yang digerakkan secara agresif oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk anak muda desa, termasuk di negeri di bawah bayu.
Dan di barisan hadapan usaha ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bukan sekadar menerajui kementerian tetapi juga berperanan sebagai pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) yang menyelaraskan hala tuju TVET di seluruh negara.
TVET sebagai laluan utama
KKDW secara terbuka meletakkan TVET sebagai laluan utama, bukan pilihan kelas kedua untuk generasi muda dengan fokus jelas kepada belia luar bandar. Tentunya bagi Sabah, ini memberi maksud yang sangat besar umpamanya anak muda di Tuaran, Kota Belud, Keningau, Kalabakan, Pitas atau Nabawan tidak lagi perlu melihat universiti akademik sebagai satu-satunya jalan keluar.
Mereka boleh masuk ke pelbagai program TVET dalam bidang seperti automotif, kimpalan, teknologi maklumat, hospitaliti, minyak & gas, dron, AI dan keusahawanan melalui institusi TVET di seluruh negara, termasuk cawangan dan pusat latihan yang mudah diakses oleh belia luar bandar.
Terbaharu Ahmad Zahid menggesa anak muda di Sabah menjadi pemacu kemajuan negeri dengan mengambil peluang latihan TVET yang ditawarkan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi di negeri itu.
Beliau mahu memastikan anak muda Sabah diberi gaji premium sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan melalui kursus TVET bagi mencegah hijrah pekerjaan ke Semenanjung atau Sarawak.
Kerajaan Persekutuan sentiasa memperkukuh peluang latihan kemahiran di Sabah dengan menambah Pusat GiatMARA baharu bagi memastikan anak muda bersedia menghadapi pasaran kerja yang lebih kompetitif dan mewujudkan tenaga mahir tempatan dalam sektor berteknologi tinggi.
Graduan TVET dihubung terus dengan industri
Lebih penting, laluan TVET hari ini bukan sekadar mengambil sijil atau mencari nasib sebaliknya graduan TVET dihubungkan terus dengan industri, GLC dan syarikat besar melalui MoU dan portal TVET Madani yang menyelaras ekosistem ini.
Dengan kata lain, anak muda kampung di Sabah boleh bermula dari bengkel kecil di daerah dan berakhir sebagai jurutera teknikal, teknologis atau teknousahawan jika mereka terus memanjat tangga TVET.
Peranan Ahmad Zahid bukan sekadar melancarkan program dan membaca teks ucapan. Beliau menjadi ‘wajah TVET negara’ yang konsisten di mana dasar besar TVET negara dirangka termasuk kerjasama strategik kerajaan–GLC untuk membuka lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan kepada pelajar TVET.
Pelbagai inisiatif telah dilancar dengan usahasama universiti, kolej dan industri termasuk program TVET di institusi seperti Management and Science University (MSU) yang memberi latihan keusahawanan untuk graduan.
Lebih daripada itu TVET diangkat sebagai agenda nasional melalui ekspo berskala besar seperti Ekspo TVET@KKDW 2025, yang mencatat ratusan ribu pengunjung dan menawarkan ribuan peluang pekerjaan.
Anak muda luar bandar jadi fokus
Dalam ucapan dan kenyataan beliau, mesejnya konsisten iaitu TVET bukan lagi “plan B” untuk pelajar yang tidak cemerlang akademik, sebaliknya arus perdana untuk melahirkan tenaga mahir dan usahawan teknikal khususnya dari kalangan belia desa.
Bagi Sabah, ini membawa maksud jelas iaitu anak muda luar bandar menjadi fokus, bukan sekadar nota kaki dalam dasar kerajaan.
Walaupun ekspo besar seperti Ekspo TVET@KKDW 2025 diadakan di Semenanjung, manfaatnya tidak berhenti di pintu dewan pameran. Model yang sama menggabungkan pameran institusi TVET, kaunter khidmat nasihat serta permohonan, booth kerjaya, dan promosi biasiswa/pembiayaan dibawa ke peringkat negeri dan daerah.
Program jelajah TVET, roadshow pendidikan dan kerjasama dengan agensi serta yayasan pendidikan yang aktif berlangung dengan jayanya di Sabah sekali gus membuka ruang kepada generasi muda di negeri bawah bayu untuk meneroka lebih banyak maklumat mengenai TVET.
Di sebahagian daerah pedalaman, pendekatan ini sangat praktikal di mana pegawai TVET turun ke sekolah menengah luar bandar dan pusat komuniti memberi taklimat tentang kursus TVET, gaji permulaan, peluang kerja dan laluan sambung belajar serta membantu pelajar mengisi permohonan melalui UP_TVET, portal tunggal kemasukan ke institusi TVET di seluruh negara.
TVET ubah naratif politik Sabah dipinggirkan
Bagi ramai pelajar di Sabah, ini mungkin pertama kali mereka melihat dengan mata sendiri demonstrasi dron, mesin CNC, simulasi keselamatan siber atau latihan hospitaliti bertaraf hotel semuanya dijelaskan dalam bahasa yang mudah.
Naratif “Sabah dipinggirkan” sering dimainkan dalam politik. Namun, jika fokus diletakkan pada TVET di bawah KKDW, gambarnya jauh berbeza.
Beberapa perkara yang menunjukkan Sabah diambil kira dalam dasar dan perancangan TVET yang memfokuskan kepada pembangunan belia luar bandar.
Agensi seperti KEMAS, MARA, GIATMARA, FELCRA dan lain-lain yang berada di bawah ekosistem KKDW mempunyai rangkaian luas di Sabah. Mereka bukan hanya jalankan latihan asas, tetapi juga program TVET berimpak tinggi dari minyak dan gas hingga perhotelan dan keusahawanan.
Anak muda Sabah rebut peluang TVET
MTVET yang dipengerusikan Ahmad Zahid, TVET dihubungkan secara langsung dengan ratusan syarikat dan GLC menjadi satu langkah penting untuk memastikan graduan termasuk dari Sabah, tidak terperangkap sebagai “pemegang sijil tanpa kerja”.
Usaha mendapatkan tajaan seperti 1,000 biasiswa TVET ke China menunjukkan bahawa kerajaan melihat graduan TVET sebagai aset strategik negara, bukannya tenaga kerja kelas kedua. Anak muda Sabah juga layak bersaing merebut peluang sebegini.
Sabah bukan dipinggirkan dalam dasar, tetapi sering kali terputus maklumat dan peluang. Di sinilah TVET@KKDW dan jelajah TVET di peringkat negeri menjadi kritikal membawa maklumat, peluang dan harapan terus ke kampung.
Satu lagi sudut menarik TVET untuk Sabah ia bukan hanya tiket untuk keluar dari kemiskinan, tetapi juga tiket untuk pulang sebagai tenaga mahir.
Anak muda yang mengambil bidang automotif boleh pulang dan membuka bengkel di kampung sendiri.
Graduan hospitaliti dan kulinari boleh bekerja di resort, kemudian membuka kafe atau homestay di daerah asal.
Mereka yang menguasai teknologi digital boleh membantu usahawan desa memasarkan produk ke seluruh dunia.
Ini seiring dengan fokus TVET@KKDW yang bukan saja melahirkan pekerja tetapi juga teknousahawan. Di sinilah signifikan peranan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW yang menggunakan mandat politik dan kedudukan nasional untuk mengarusperdanakan TVET.
Laluan baharu dari bengkel kampung ke makmal dron
TVET juga memastikan agihan peluang tidak terhenti di Lembah Klang dan menjadikan belia desa di seluruh negara sebagai pemain utama dalam ekonomi baharu negara.
Jika satu ketika dahulu masa depan anak muda Sabah sering digambarkan terhad di ruang sempit kelas kayu berbumbung zink, hari ini gambaran itu semakin kabur. TVET yang digerakkan KKDW membuka laluan baharu dari bengkel kampung ke makmal dron, dari dapur kayu ke dapur hotel, dari bengkel motor tepi jalan ke industri automotif dan elektrik moden.
Berapa ramai anak muda Sabah yang berani rebut peluang TVET yang sudah dibuka depan mata?
Dan ketika jawapan itu datang dalam bentuk lebih ramai juruteknik, chef, pengimpal, juruteknik dron dan teknousahawan dari Sabah barulah usaha TVET@KKDW benar-benar dapat dirasai di setiap pelosok desa negeri di bawah bayu. – MalaysiaGazette
















