KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) tidak akan terburu-buru dalam menentukan individu yang bakal memegang jawatan Ketua Menteri Sabah jika berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke17.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN Sabah akan menggunakan mekanisme syura untuk menentukan calon Ketua Menteri.
“Pemilihan Ketua Menteri akan ditentukan melalui hierarki parti yang memenangi kerusi terbanyak di bawah gabungan BN,” katanya ketika ditanya mengenai calon Ketua Menteri BN.

Langkah BN ini dilihat sebagai strategi untuk mengekalkan kesepaduan dalaman dan semangat kerjasama dalam kalangan parti komponen, sambil memberi isyarat bahawa jawatan tertinggi negeri akan diberikan kepada pemimpin yang benar-benar mendapat mandat kemenangan yang kukuh di lapangan.
“Kita ada sejarah yang panjang di Sabah. Dulu di bawah BN Sabah sangat maju,” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang berkempen, Ahmad Zahid berkata, BN mempunyai kesepakatan.
“Ada kesepakatan di setiap kerusi yang dipertandingkan antara BN dan PH,” ujarnya ringkas.
PRN Sabah akan diadakan pada 29 Novemberi ini dengan BN menyenaraikan 45 calon. – MalaysiaGazette















