KOTA KINABALU – Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RSP1) merupakan tema Manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dilancarkan di bangunan UMNO Sabah, di sini, pagi ini.
Dokumen janji pilihan raya itu yang dibentangkan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggariskan enam rukun utama termasuk Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup; Wanita dan Orang Muda Tonggak Negara; Pendidikan Berkualiti Untuk Semua; Transformasi Politik dan Tadbir Urus; Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber.
Salleh berkata, rukun pertama RSP1 antara lain BN menawarkan penubuhan Dana Kemakmuran Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang.
“BN menawarkan Rumah Sabahku mampu milik untuk golongan B40 dan M40 dengan kapasiti sehingga 15,000 unit setahun.
“Malah BN juga menawarkan dana khas baik pulih rumah mangsa bencana alam untuk golongan B40,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN di bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, BN menumpukan kepada penyelesaian masalah infrastruktur merangkumi jalan raya, bekalan air, tenaga elektrik dan solar, jaringan jalur lebar serta Pelan Induk Mitigasi Banjir Sabah 2030.
“BN Sabah komited mahu menyelesaikan masalah infrastruktur khususnya bekalan air dengan tuntas melalui penubuhan Suruhanjaya Air Sabah,” katanya.
Bagi penyelesaian bekalan elektrik pula, BN menawarkan dengan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga itu antara 3,000 hingga 5,000 megawatt.
“Selain itu krisis elektrik Sabah boleh dipulihkan dengan membekalkan BESS – Solar Energy Storage Sistem untuk setiap KIR golongan B40 sebagai sumber tenaga alternatif,” katanya.
Dalam pada itu, BN Sabah turut menawarkan penyelesaian masalah jaringan jalur lebar menerusi perluasan liputan internet secara menyeluruh di kawasan dalam masa lima tahun.
“Bandar-bandar utama di Sabah akan dijadikan Bandar Pintar dengan infrastruktur digital,” katanya.
Katanya lagi, manakala bagi masalah banjir pula, BN Sabah menawarkan penyelesaian tuntas dengan pelaksanaan Pelan Induk Mitigasi Banjir Sabah 2030 yang bersepadu.
“Langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















