BUKIT MERTAJAM – Festival Mega iLINDUNGu diteruskan sebagai usaha memperluas kefahaman rakyat mengenai manfaat dan skim perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, ramai pencarum masih tidak mengetahui faedah yang boleh dituntut termasuk sekiranya berlaku kemalangan, bencana kerja atau keilatan, selain tidak menyemak status caruman yang dibayar setiap bulan.
“Ramai ingat PERKESO ini kita hanya bayar bulan-bulan. Itu pun mungkin orang tak tahu bahawa potongan bulanan itu sebenarnya memberi perlindungan.

“Jadi festival ini untuk mewujudkan kesedaran apa manfaatnya jadi pencarum PERKESO.
“Selain itu, kita juga nasihatkan pencarum periksa sistem, ada bayar atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Festival Mega iLINDUNGu di Evoke di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengenai penganjuran festival, Steven Sim berkata, sambutan sangat menggalakkan dengan anggaran kehadiran hampir 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
“Dua hari ini pun kita sudah menerima pengunjung hampir 13,000,” katanya.
Mengulas lanjut Steven Sim menegaskan festival ini turut memberikan peluang kepada majikan untuk melunaskan tunggakan caruman pekerja dengan tawaran diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus.

Beliau berkata, kebiasaanya diskaun FCLB ditawarkan pada April setiap tahun dan kadangkala dilanjutkan sehingga Mei.
“Bagaimanapun, pelaksanaan khas semasa festival kali ini membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO untuk memastikan tiada pekerja di negara ini terpinggir dan tidak diLINDUNGi.
“Setakat ini, seramai 70 majikan hadir untuk membuat rayuan bayaran Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) dengan jumlah keseluruhan RM205,185.
“Daripada amaun itu, kita berikan pengurangan 80 peratus, iaitu bernilai RM164,000.
Untuk rekod, Festival Mega iLINDUNGu di Pulau Pinang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada 27 majikan.

Selain itu, beberapa personaliti popular seperti Bell Ngasri, Duo Elite, Baby Nassuhada, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Odah, Kimberly Chuah, Daniel Fong, Satthiya Kandi serta suami, memeriahkan festival.
Manakala, acara santai dan hiburan pada setiap malam menampilkan artis antaranya Hyper Act, XPDC, Duo Elite (Azza dan Abby Abadi), Ruffedge, UNIC dan Apex Tajuddin. – MalaysiaGazette
















