Woo Kah Leong

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong menuntut Pemuda Pas Selangor menarik balik serta-merta dakwaan kononnya beliau menggunakan status kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebagai bahan politik.

Dalam masa sama, Kah Leong turut menuntut Pemuda Pas Selangor memohon maaf secara terbuka kepada beliau menerusi pelbagai media sosial rasmi (Tik Tok, Facebook dan Instagram) berhubung dakwaan tersebut.

Tegas beliau, sekiranya kenyataan yang didakwa fitnah itu tidak ditarik balik, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemuda Pas Selangor.

Menurutnya beliau terkilan dengan laporan kumpulan Pemuda Pas Selangor semalam yang membuat tohmahan kononnya beliau menggunakan isu Hashim yang sakit sebagai bahan politik.

“Ingin saya tegaskan bahawa ini adalah fitnah semata-mata lantaran kenyataan yang dikeluarkan saya adalah pada 15 November 2025, dan Mursyidul Am adalah dilaporkan memasuki wad pada 19 November 2025, maknanya empat hari selepas kenyataan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pemuda Pas Selangor menzahirkan rasa kecewa dan mengecam tindakan Kah Leong yang disifatkan sebagai rendah akal budi serta bercanggah dengan etika politik bermaruah.

Ia berikutan tindakan Kah Leong yang memuat naik gambar Hashim dalam keadaan terlantar di katil yang didakwa telah diubah suai.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menuntut agar Kah Leong memohon maaf secara terbuka serta menarik balik hantaran kandungan tersebut di semua platform media sosial rasmi dan tidak rasmi di bawah seliaan DAP serta sekutunya.

Sementara itu, Kah Leong berkata, seperti mana amalan lumrah Pas yang membuat fitnah seperti Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr. Siti Mastura Muhammad) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol (Razman Zakaria), Pemuda Pas Selangor juga membuat demikian biarpun jelas mengetahui bahawa ia adalah tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast