Steven Sim.

BUKIT MERTAJAM – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan Malaysia kekal tegas dan tanpa toleransi terhadap sebarang eksploitasi pekerja meliputi warga tempatan mahupun asing.

Ia susulan kebimbangan terbaharu pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai dakwaan penipuan pengambilan pekerja serta ikatan hutang membabitkan pekerja Bangladesh di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia kekal tegas dalam penguatkuasaan undang-undang perburuhan dan komited memastikan semua pekerja, tanpa mengira warganegara dilindungi sepenuhnya.

“Untuk makluman, kita sangat tegas dalam aspek undang-undang perburuhan. Malaysia memastikan eksploitasi pekerja tidak berlaku, tidak kira pekerja tempatan atau pekerja asing. Kita tidak boleh berkompromi.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius kepada semua perkara yang berkait dengan kebajikan pekerja termasuk aduan, pematuhan undang-undang, pembayaran gaji serta penyediaan penginapan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Steven, setiap laporan berkaitan eksploitasi akan ditangani dengan tindakan sewajarnya.

“Jika ada laporan, kita akan ambil tindakan,” tegasnya.

Mengulas dakwaan penahanan pasport, Steven menjelaskan, isu tersebut berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia namun dasar kerajaan tetap sama, tiada kompromi.

“Berhubung isu pasport, ini isu lama dan kita cukup tegas. Ini melibatkan Imigresen tetapi saya yakin rakan-rakan di Kementerian Dalam Negeri berkongsi pendirian sama dengan Kementerian Sumber Manusia iaitu tiada kompromi,” katanya.

Semalam, Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung eksploitasi, penipuan dan hutang buruh yang semakin membelenggu pekerja migran Bangladesh dalam sektor pekerjaan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pakar itu berkata, amalan perekrutan palsu serta eksploitasi pekerja masih berlaku secara meluas dan sistematik sekali gus menjejaskan hak asasi pekerja serta keluarga mereka.

“Kami amat bimbang penipuan perekrutan dan eksploitasi migran kekal berleluasa di Malaysia. Amalan ini terus menyebabkan kesan hak asasi manusia yang serius,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast