Timbalan Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Sivamalar Genapathy

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa pihak berkuasa memperhebat usaha mengesan anak M. Indira Gandhi, Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya hampir 17 tahun lalu.

Ini susulan arahan terbaharu Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes hak penjagaan membabitkan Indira Gandhi.

Timbalan Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Sivamalar Genapathy berkata, keputusan mahkamah itu perlu dilihat sebagai peringatan tegas bahawa keadilan yang tertangguh lebih 16 tahun tidak boleh dibiarkan berterusan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan supaya pencarian diperluaskan ke seluruh negara selepas maklumat baharu diperoleh mendakwa bekas suami Indira Gandhi telah menerima dan menggunakan bantuan kerajaan di bawah inisiatif I-Sara dan Budi95.

Menurut Sivamalar, arahan tersebut menuntut tindakan segera dan koordinasi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi berkaitan di setiap negeri bagi melipatgandakan usaha menjejak kanak-kanak itu.

“Setiap keputusan mahkamah mesti dipatuhi tanpa kompromi, sambil menekankan bahawa isu ini perlu diuruskan melangkaui perbezaan politik atau agama dan berpaksikan sepenuhnya kepada nilai kemanusiaan.

“Keutamaan sekarang ialah mengesan, mengenal pasti dan membawa pulang Prasana Diksa seperti yang diarahkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivamalar berharap tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa mampu menjadi titik perubahan dalam menyelesaikan episod panjang yang dialami keluarga Indira Gandhi.

Katanya, penyelesaian kes ini akan menjadi satu pengiktirafan penting terhadap kedaulatan undang-undang untuk semua rakyat Malaysia.

Pada 2009, bekas suami Indera Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah secara unilateral telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa kebenaran Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah syariah untuk mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiganya.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama unilateral ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi, Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast