PUTRAJAYA – Yayasan Ikram Malaysia (yaIKRAM) menerima aset baharu yang pertama dalam usaha membantu operasi keselamatan dan menyelamat sebagai persediaan menghadapi kejadian banjir pada masa akan datang.
Ketua Pengarah Eksekutif yaIKRAM, Ts. Dr. Zaharuddin Saidon berkata, aset bot getah bernilai RM18,000 itu merupakan hasil sumbangan orang ramai dengan misi pertama bermula di Kelantan yang ketika ini berdepan musim monsun.
Menurutnya, pasukan sukarelawan yaIKRAM yang dikenali Unit Khas Kor i-Bantu Malaysia diberi tanggungjawab mengendalikan operasi itu yang kini memiliki 13 sukarelawan terlatih selepas berjaya melaksanakan Latihan Simulasi Bencana Banjir.
“Aset pertama ini akan digunakan di Kelantan memandangkan daerah Bachok kini berdepan banjir di mana satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka.
“Bot ini akan juga akan menjadi penanda aras projek pertama pada tahun ini dan kalau kita berjaya, kita akan direplilasi di Kuala Lumpur dan kemudiannya dikembang ke Sabah dan Sarawak sebab kita ada niche situ yang perlu diberikan.
“Ini kerana apa yang kami perhatikan, banyak bantuan banjir diberikan selepas bencana berbanding sebelum itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada Majlis Minum Petang yaIKRAM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi yaIKRAM, Ainullotfi Abdul Latif dan Komandan merangkap Ketua Jurulatih, Unit Khas Kor i-Bantu Malaysia, Tuan Hazli Tuan Mamat.
Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, pihaknya menyasarkan dana sebanyak RM80,000 dalam usaha menambah aset baharu pada tahun depan seperti kenderaan pacuan empat roda dalam membantu lebih ramai yang memerlukan.
Kata beliau, yaIKRAM sentiasa peka dan prihatin kepada golongan miskin berkeperluan, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal, anak yatim, mangsa bencana dan sebagainya.
Menurutnya, atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab kebajikan, saban tahun pihaknyan akan menggerakkan kempen demi kempen bagi membantu kumpulan sasar itu.
“Bantuan yang diberikan bukan sahaja berbentuk sumbangan kewangan malah projek dan pembangunan sosioekonomi juga turut disalurkan bagi meningkatkan taraf hidup dan pendidikan.
“Pihak yang disantuni pula meliputi semua golongan masyarakat merentas kepelbagaian kaum dan agama. Selain itu, pelbagai agensi kerajaan juga turut disantuni sebagai tanda keprihatinan dan terima kasih di atas sumbangan yang telah mereka berikan selaku barisan hadapan.

Baru-baru ini, Unit Khas Kor i-Bantu Malaysia yaIKRAM turut berjaya melaksanakan Latihan Simulasi Bencana Banjir bertempat di Bachok, Kelantan yang bertujuan memperkasa pengetahuan para peserta serta memperkukuh kefahaman.
Latihan itu bagi mematuhi arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada pertubuhan bukan kerajaan dan Komuniti yang hadir dalam sesi kesiapsiagaan tersebut.
Usaha itu penting bagi meningkatkan tahap persediaan dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jiwa ketika berlakunya bencana banjir.
Program itu turut disertai oleh pelbagai agensi dan komuniti antaranya MyCARE, IKRAM Health, GEMA, Pusat Pendidikan Aman, Hidayah Centre, serta IKRAM Kawasan (Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Pengkalan Chepa), MACMA, dan Komuniti Temangan. – MalaysiaGazette

















