KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS) mengeluarkan amaran banjir di beberapa kawasan di Perak dan Kelantan antara 21 hingga 26 November ini susulan ramalan hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.
Menurutnya, amaran ini dikeluarkan susulan lembangan sungai dijangka terkesan dengan banjir monsun.
Di Perak, kawasan terlibat ialah di daerah Kerian iaitu Lembangan Sungai Kurau dan Sungai Kerian (Sungai Kerian, Sungai Samagagah dan Sungai Beriah.

Di Hulu Perak pula di Lembangan Sungai Perak dan Manjung melibatkan Lembangan Sungai Jarum Mas (Sungai Che Rahmat).
Manakala air Sungai Kelantan dan Sungai Golok dijangka naik dan melebihi paras bahaya susulan amaran hujan berterusan dan mengakibatkan banjir di beberapa lokasi mulai jam 2 petang 25 November hingga 11 malam, 26 November 2025.
JAS berkata, kenaikan paras air Sungai Kelantan dijangka menyebabkan banjir kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer di sekitar Sungai Kelantan di Padang Rokma, Becah Temalang dan Chenderong Batu.
Selain itu, hujan berterusan diramal kawasan-kawasan rendah di Sungai Golok, seperti Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu dinaiki air.
Ramalan sama turut melibatkan Kampung Pak Kerai, Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kampung Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.
JAS berkata, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.
Katanya, amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
MetMalaysia keluarkan amaran hujan lebat berterusan, tahap bahaya di Kelantan
















