KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 8,602 orang di enam negeri melibatkan 3,084 keluarga yang berlindung di 43 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan terus merekodkan jumlah tertinggi melibatkan 7,727 orang daripada 2,823 keluarga yang menetap di empat daerah, mendiami 31 PPS di negeri itu.
Sehingga pukul 7.30 malam, data yang diperolehi menunjukkan jumlah itu meningkat daripada 5,053 orang yang dicatatkan pada tengah hari.
Bagaimanapun, mangsa banjir di Terengganu mencatatkan penurunan melibatkan 365 orang daripada 111 keluarga yang berlindung di dua PPS di Besut berbanding 548 orang yang direkodkan pada tengah hari.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 236 orang daripada 82 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Kulim.
Selain itu, seramai 128 mangsa daripada 30 keluarga di Pulau Pinang pula direkodkan berpindah ke dua PPS di Seberang Perai Utara.
Sementara itu, Perlis mencatatkan perpindahan seramai 77 mangsa dariapda 25 keluarga di empat PPS di Padang Besar.
Sarawak pula menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas seramai 44 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di satu PPS di daerah berkenaan.
Data yang diperolehi turut mencatatkan sejumlah 138 bayi lelaki dan 147 bayi perempuan, seramai 1,504 kanak-kanak lelaki serta 1,380 kanak-kanak perempuan ditempatkan di PPS terlibat.
Selain itu, warga emas lelaki dan wanita seramai 332 orang dan 362 orang masing-masing manakala mangsa kurang upaya (OKU) berjumlah 320 orang. – MalaysiaGazette
















