Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa melakukan pembohongan dalam ceramahnya bersama penduduk Felda Umas Sebatik, Sabah apabila terus mendabik dada kononnya beliau pernah memimpin kerajaan tanpa rasuah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa tanggapan yang cuba dibina Muhyiddin bahawa kerajaan pimpinan dahulu tidak terpalit rasuah adalah tidak benar dan satu pembohongan semata-mata.

“Dalam ceramahnya semalam bersama warga Felda Umas Sebatik, Muhyiddin mendabik dada kononnya dia PM kerajaan tanpa rasuah. Kita cabar Muhyiddin pujuk menantu dia balik dan serah diri. Kenapa takut?, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Puad turut menyindir tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful yang kini mula mempersoalkan tentang isu menantu Muhyiddin yang didakwa menghilangkan diri dan tidak pulang ke tanah air.

“Masalahnya Wan Saiful dan gengnya tutup mata sebelah. Buat tak nampak. Bila tersepit baru buka dua belah mata,” ujarnya.

Dalam pada itu, Puad menolak dakwaan kononnya kerajaan PN berjaya menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan sepanjang tempoh 17 bulan memerintah, sebaliknya menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu sebagai separa masak.

“Hakikatnya PKP separa masak menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari total lockdown diumumkan,” jelasnya.

Tambah beliau, kegagalan itu turut diperlihatkan menerusi Indeks Pengendalian Covid-19 oleh Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-3 paling corot daripada 53 negara ekonomi utama dunia.

“Untuk kemuncaknya, rakyat terpaksa memacak #BenderaPutih di mana-mana, terputus bekalan makanan dan hidup dalam kesempitan. Orang Sabah tidak lupa,” tegas Puad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast