Persatuan Aktivis Sahabat Alam
Persatuan Aktivis Sahabat Alam

KUALA LUMPUR – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mengecam sekeras-kerasnya projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Kenering, Hulu Perak selepas didapati mencatat bacaan radiasi 13 Bq/g (Becquerel).

Presidennya, Siti Hawa Abd Wahid berkata bacaan kawasan itu mencatatkan 13 kali ganda lebih tinggi daripada had yang diluluskan, sekali gus disifatkan sebagai kegagalan sistemik dan pengkhianatan terhadap keselamatan rakyat.

“Insiden ‘sungai biru’, penggantungan projek secara tergesa-gesa serta pendedahan kemungkinan pelepasan radionuklid daripada tanah membuktikan projek itu tidak terkawal, tidak telus dan tidak selamat.

“Kerajaan dan pemain industri sebelum ini mendakwa projek NR-REE ini bersifat ‘tidak radioaktif’. Tetapi kini terbukti bacaan mencapai 13 Bq/g. Apakah ini bukan pembohongan terang-terangan?” soalnya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Persatuan itu memberi amaran kesan radiasi bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya membawa risiko serius termasuk mutasi, kanser, pencemaran sumber air serta bioakumulasi dalam rantaian makanan, sambil mengingatkan tragedi Bukit Merah agar tidak berulang.

Kuasa turut menegaskan kawasan Kenering bukan lokasi biasa kerana ia sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS) Rank yang menjadi tunjang ekologi negara, justeru pelaksanaan projek perlombongan di kawasan sensitif itu disifatkan sebagai tindakan cuai dan tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan sama, Kuasa turut mempersoalkan keberkesanan audit dan pemantauan yang kononnya mematuhi SOP apabila bacaan radiasi didapati melepasi had dibenarkan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemantauan gagal dilaksanakan dengan betul atau berlaku pelanggaran yang cuba disembunyikan.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan menuntut supaya projek digantung serta-merta dan moratorium dikekalkan, selain menggesa audit radiasi dijalankan oleh pakar bebas antarabangsa serta pendedahan penuh semua data berkaitan bacaan radiasi dan kualiti air kepada umum.

“Isu di projek perintis Kenering ialah siren amaran kepada seluruh negara. Projek yang dijual sebagai ‘selamat’ kini terbukti menyembunyikan risiko.

“Kami menuntut akauntabiliti, ketelusan, dan keberanian politik untuk mengutamakan keselamatan rakyat bukan keuntungan pihak tertentu,” kata persatuan itu lagi.

Untuk rekod, projek NR-REE Kenering ialah projek perintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Hulu Perak, yang merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Projek ini bertujuan untuk mengkaji perlombongan NR-REE secara lestari dan bertanggungjawab, serta telah menjana royalti hampir RM16 juta kepada Kerajaan Negeri sehingga Julai 2023.

Projek ini telah dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan tiada pencemaran terhadap alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast