KUALA LUMPUR – Paras air dua sungai utama di Perlis melepasi tahap bahaya manakala dua lagi melebihi tahap amaran ekoran hujan lebat melanda negeri itu.
Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Public InfoBanjir, kedua-duanya ialah Sungai Jarum di Kampung Masjid, Padang Besar (melebihi 33.6 meter) dan Sungai Chuchoh di Kampung Chantik (melebihi 38.5 meter).
Selain itu, Empangan Timah Tasuh turut mencatat paras 29.8 meter, melebihi paras bahaya 29.6 meter dengan trend meningkat setakat pukul 12 tengah hari.
Sungai Arau di Kolam Sungai Jernih melepasi tahap amaran 22 meter, Sungai Pelarit di Wang Kelian melepasi paras amaran 106.1 meter manakala Sungai Buloh di Kampung Batu Bertangkup di Arau melebihi paras waspada 24 meter.
Di Sarawak, beberapa lokasi menunjukkan bacaan amaran dan waspada dengan trend menurun, termasuk Nanga Lemai B, Sibu (3.38 meter), Lubok Piasau II, Limbang (1.57 meter), Long Teru, Miri (7.38 meter), Marudi, Miri (2.93 meter) serta Benawa, Miri (6.33 meter)
Selain itu, bacaan melebihi tahap amaran 2 meter turut direkodkan di Sungai Tebrau, Taman Sri Pandan, Johor Bahru, Johor manakala tahap waspada di Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak (2.68 meter) manakala di Perak – Sungai Slim, Slim River, Muallim (25.09 meter).
Sementara itu, beberapa kawasan di Melaka turut mencatat bacaan melebihi paras waspada seperti di Barrage Sungai Melaka (1.32 meter) dengan trend menurun. – MalaysiaGazette
















