KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik di Pangsapuri SS8, Kelana Jaya telah dipulihkan melalui set janakuasa bergerak (genset), kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, bekalan elektrik sementara melalui set janakuasa bergerak (genset) telah berjaya disalurkan kepada penduduk Pangsapuri SS8, Kelana Jaya pada jam 12.10 tengah malam tadi selepas pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) menyiapkan kerja-kerja pembaikan pada komponen yang diperlukan untuk penyambungan genset.
“Bekalan sementara ini disediakan demi keselamatan dan keselesaan penduduk, sementara menunggu kerja pembaikan penuh di Bilik Main Switch Board (MSB) milik JMB disiapkan oleh kontraktor bangunan,” kata syarikat utiliti itu.
Katanya, TNB akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia memberikan bantuan teknikal kepada kontraktor bangunan sekiranya diperlukan.
Penduduk Pangsapuri SS8, Kelana Jaya itu mengalami gangguan bekalan elektrik selepas suis utama meletup pada Rabu lalu.
Susulan itu, bangunan 15 tingkat itu menempatkan 260 unit blok pangsapuri dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa bergelap.
Semalam, Badan Pengurusan Bersama pangsapuri itu berkata, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik. – MalaysiaGazette
















