Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 kes penipuan membabitkan agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen, termasuk sindiket ‘maid-scammer’ yang beroperasi secara dalam talian direkodkan dalam tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2025.

Jumlah itu mewakili 50 peratus berbanding keseluruhan 30 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh hampir tiga tahun iaitu antara Januari 2023 hingga Oktober tahun ini, yang membabitkan kerugian keseluruhan RM260,972.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata,  daripada keseluruhan kes itu 11 kes direkodkan pada 2023 dan empat lagi pada 2024, sebelum ia meningkat ketara kepada 15 kes tahun ini.

Menjawab pertanyaan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), kementerian berkata jumlah itu melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM269,772.

“Daripada keseluruhan laporan, 11 kes dicatatkan pada 2023 dan empat kes pada 2024, sementara tahun 2025 menunjukkan peningkatan ketara dengan 15 kes direkodkan sehingga Oktober.

“Kenaikan ini menandakan kewujudan semula sindiket yang kembali aktif dan agresif, khususnya melalui platform digital, iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah tidak wujud,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman menegaskan, komitmen untuk membanteras penipuan berkaitan pengambilan pembantu rumah, memastikan majikan tidak dieksploitasi dan menjamin hanya agensi berlesen, telus dan sah dibenarkan beroperasi di negara ini.

Katanya, mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), hanya Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen dibenarkan menjalankan aktiviti merekrut dan menempatkan pekerja termasuk pembantu rumah asing.

Manakala individu atau ejen yang menjalankan aktiviti perekrutan tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) akta sama dan boleh didenda maksimum RM200,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Sejak 2023, sebanyak 13 kes pendakwaan telah diambil terhadap APS atas pelbagai kesalahan termasuk merekrut tanpa lesen, gagal mematuhi syarat lesen dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa menjalankan aktiviti perekrutan.

“Mahkamah telah mengenakan jumlah denda keseluruhan RM205,000 terhadap kesalahan-kesalahan tersebut,” ujarnya.

Bagi menangani isu ini secara lebih berkesan, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Dalam Negeri memperkukuh tindakan membabitkan penguatkuasaan, pemantauan agensi, perlindungan pengguna dan peningkatan kesedaran awam.

“Pendekatan bersepadu ini turut melibatkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen, pemantauan platform dalam talian yang memaparkan iklan pengambilan pembantu rumah, pemeriksaan berkala terhadap agensi serta audit pematuhan.

“Kerajaan turut menyediakan maklumat mengenai agensi berlesen yang dibatalkan di portal rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk rujukan orang awam,” ujarnya.

Menurutnya, langkah-langkah ini bertujuan memastikan pencegahan dapat dilakukan dari peringkat awal, selain memastikan sindiket yang aktif dapat dikenal pasti dan ditumpaskan dengan lebih tegas demi melindungi pengguna dan menjaga integriti industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast