SHAH ALAM – Bekas pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah dan gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Khoo Kok Peng, 48 membuat pengakuan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM2,048 daripada Firma Guaman Arizal Jailani & Co. (AJC) di Maybank, Cawangan Kelana Jaya, Kelana Parkview Tower, Petaling Jaya pada 20 Oktober lalu.
Selain itu, lelaki berkenaan turut dituduh menerima RM2,200 daripada Firma Guaman Anuar Hong & Ong pada 9 Januari dan 13 Julai 2018.
Selepas membuat pengakuan tersebut, Khoo merayu supaya hukuman kepadanya diringankan kerana ejen insurans itu perlu menanggung isteri, tiga orang anak termasuk ibunya menghidapi tumor.
“Saya berhenti kerja bank sejak Ogos tahun ini, dan baru tiga bulan bekerja sebagai insurans. Sebelum ini saya tidak mempunyai rekod jenayah, saya juga perlu menanggung bayaran ansuran kereta dan insurans anggota keluarga saya. Jadi saya mohon dikurangkan hukuman kepada saya. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan saya,” katanya.
Selepas membuat pertimbangan, hakim memutuskan lelaki itu dikenakan denda sebanyak RM27,000, sekiranya gagal membayar denda boleh dihukum penjara sehingga sembilan bulan.
Sementara itu, seorang pegawai bank lain yang digantung tugas berdepan 10 pertuduhan utama dan pilihan yang sama dengan Khoo.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Saiful Syafie dituduh menerima suapan sebanyak RM8,580 sebagai upah mencadangkan Firma Guaman Anuar Hong & Ong bagi menyediakan dokumen perjanjian perumahan antara 23 Januari 2018 hingga 20 Novembre 2020.
Lelaki berusia 36 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Bagaimanapun, Muhammad Saiful mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.
Tertuduh yang diwakili peguam Khairul Naim Rafidi diarahkan membayar ikat jaminan sebanyak RM10,000, selain tiga syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri sekali sebulan di pejabat SPRM dan dilarang menganggu saksi pendakwaan.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 5 Febuari 2026.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip. – MalaysiaGazette
















