Calon Barisan Nasional (BN) N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kimanis, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2025.

KIMANIS – Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.30 Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Datuk Mohamad Alamin berharap dapat menyelesaikan isu tanah yang sudah membelenggu penduduk sejak sekian lama.

Beliau berkata, kebanyakan isu ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kemenangan BN adalah kunci untuk membuka penyelesaian.

“Di sini (Bongawan) banyak isu tanah yang tak selesai.

“Sekiranya platform kerajaan negeri dapat pada kita (BN), saya berharap pengundi bersama-sama ubah Bongawan,” katanya kepada MalysiaGazette.

Beliau yang juga timbalan menteri luar ini turut memberi perhatian kepada masalah-masalah yang dilihat kecil tetapi memberi impak besar kepada rakyat, seperti isu perumahan rakyat termiskin (PPRT) dan penyelenggaraan parit yang lemah.

“Apabila saya turun padang, penduduk mengadu pada saya berkaitan isu-isu asas yang saya tak pandang remeh.

“Penyelenggaraan parit boleh jadi banjir, kelemahan penyelenggaraan sungai-sungai sedia ada semuanya di bawah kerajaan negeri.

“Ini kelemahan begitu ketara. Saya menggesa pengundi untuk membuat keputusan paling tepat bagi memastikan masalah kritikal di Bongawan, terutamanya isu tanah dan penyelenggaraan sungai yang menyebabkan banjir, dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Calon Barisan Nasional (BN) N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin (dua kiri) menziarahi penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kimanis, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2025.

Jelas Ahli Parlimen Kimanis ini lagi, pengundi perlu melihat rekod BN dan memberi mandat agar membetulkan kelemahan pengurusan kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, saya cukup optimis, ramai yang dah saya temui, program ziarah rumah ke rumah dan santai bersama penduduk, mereka dah kenal saya sebagai ahli Parlimen yang dah berkhidmat.

“Mereka nampak hasil nyata. Saya sudah naik taraf Jalan Bukit Manggis sejauh 29 kilometer dengan kos RM120 juta, yang memberi manfaat besar kepada rakyat yang menunggu lama di kawasan Ulu Kimanis, Kampung Sembeling, dan Ulu Membakut dan banyak lagi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ketika menjadi timbalan menteri pendidikan, sekolah-sekolah di kawasan sekitar sudah di naik taraf.

“Lapan buah sekolah di kawasan ini mendapat sekolah baharu, ia membuktikan pencapaian yang dibawa melalui BN.

“Program-program rentas agama dan kaum, surau, gereja kita sentiasa membantu.

“Rakyat dah nampak hasil kerja saya kerana itu saya optimis,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin kempen undi penduduk setempat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kimanis, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2025.

Mohamad percaya rekod perkhidmatan beliau akan menjadi penentu kemenangan di Bongawan.

DUN Bongawan yang mempunyai 24,019 pengundi menyaksikan pertembungan sembilan penjuru.

Mohamad akan menentang penyandang kerusi berkenaan Dr. Daud Yusof (Warisan) dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman (GRS), selain Dolores Michael (STAR Sabah), Ridzuan Firdaus (PN), Royston Adven (PIS), Md Haris Md Tahir (Bebas), Peter Matinjal (KDM) dan Hussin Dasar (PPRS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast