Pengendali e-hailing tempatan, GV Ride.

KUALA LUMPUR – Pengendali e-hailing tempatan, GV Ride, melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Get Driver Program’ dengan menawarkan ganjaran tunai RM200 kepada pemandu yang berjaya merujuk pemandu atau penumpang baharu ke platform itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kabeer Maand berkata, program tersebut diperkenalkan bagi memperluas komuniti GV Ride, selain memberi peluang pendapatan tambahan kepada pemandu sedia ada.

Menurutnya, pemandu boleh merujuk rakan untuk menjadi pemandu GV Ride khusus di kawasan Subang Jaya dengan ganjaran diberikan selepas pemandu baharu melengkapkan syarat ditetapkan.

“Pemandu yang merujuk serta pemandu baharu masing-masing akan menerima RM200 apabila pemandu baharu itu menyiapkan 30 perjalanan dalam tempoh 30 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kabeer Maand.

GV Ride turut menawarkan insentif sama kepada pemandu yang merujuk penumpang baharu, dengan penumpang tersebut perlu menyelesaikan 30 perjalanan dalam tempoh sama sebelum ganjaran dikreditkan.

Kabeer berkata, rujukan boleh dibuat dengan menghubungi pasukan GV Ride atau hadir terus ke pejabat syarikat, namun hanya pemandu kali pertama dan beroperasi di Subang Jaya layak menyertai program tersebut.

“Ganjaran akan dikreditkan ke dalam e-dompet GV Ride dalam tempoh tujuh hingga 14 hari bekerja selepas pengesahan namun kita berhak membatalkan rujukan yang disyaki melibatkan penipuan atau manipulasi,” ujarnya.

Beliau berkata pelancaran program berkenaan merupakan sebahagian usaha syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai, selain mengukuhkan ekosistem mobiliti tempatan.

GV Ride menggalakkan lebih ramai pemandu dan penumpang menyertai platform itu bagi menikmati pelbagai manfaat dan peluang pendapatan yang ditawarkan.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi GV Ride, www.gvride.com, atau menerusi WhatsApp di 012-500 3217. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast