Logo KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada semua institut pengajian tinggi (IPT) yang terjejas dengan situasi banjir untuk melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Langkah ini, katanya, bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

Menurutnya, KPT memantau dengan teliti perkembangan banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat berterusan.

KPT berkata, situasi banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa IPT yang dinaiki air, sekali gus menjejaskan pengoperasian premis serta pelaksanaan proses PdP.

Pada masa sama, bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa serta penyaluran bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT.

“KPT juga menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pasukan keselamatan,” katanya sambal mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast