KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Januari tahun depan bagi memutuskan sama ada titah adendum dikuatkuasakan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak kerajaan.
Bekas Perdana Menteri memfailkan semakan kehakiman bagi memohon perintah responden atau mana-mana daripada mereka diarahkan untuk segera melaksanakan titah itu termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sepatutnya memfailkan afidavit bagi membuktikan kesahan titah adendum yang dikeluarkan kepada Najib.
Hujah beliau, titah berkenaan sepatutnya sudah dikuatkuasakan sejak tahun lalu kerana ia dimajukan sendiri kepada Ahmad Terrirudin oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (YDPA).
Hujah beliau, sebaliknya individu yang tiada pengetahuan berkaitan titah adendum, memfailkan afidavit bagi menafikan bahawa isu tahanan rumah itu telah dibincangkan dalam sidang Lembaga Pengampunan.
Mahkamah diberitahu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan), Bahagian Hal Ehwal dan Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. S. Punitha memfailkan afidavit bagi menafikan perkara itu.
“Ini perkara yang kami persoalkan, Punitha tidak tahu menahu mengenai titah adendum namun beliau memfailkan afidavit yang sepatutnya dibuat oleh Ahmad Terrirudin selaku Peguam Negara ketika itu.
“Ahmad Terrirudin sendiri yang menerima titah berkenaan dan mempunyai pengetahuan mengenainya. Tindakan beliau mendiamkan diri amat serius.
“Dimana titah adendum ini? Sudah lebih setahun, anak guam kami sepatutnya sudah menjalani baki tahananan di rumah,” ujar Muhammad Shafee ketika mempersoal keberadaan titah bertarikh 29 Januari 2024 yang diberikan oleh YDPA.
Dalam semakan kehakiman, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.
Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette















