KUALA LUMPUR – Penulis muda, Krishh Haran Nair Ramakrishnan Nair, menerima Anugerah Khas Kanak-Kanak 2025 sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Merdeka, semalam
Pengiktirafan itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini sebagai penghargaan atas pembabitan aktif Krishh dalam penulisan dan sumbangan kebajikan.
Krishh, penulis kepada buku ‘The Mysterious War to the Deep’ mencuri perhatian apabila beliau berjaya mengumpul RM7,000 daripada jualan bukunya dan menyumbangkan keseluruhan jumlah itu kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Sumbangan itu melayakkan beliau tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyumbang termuda kepada YSIJ, serta mencatatkan rekod sebagai jumlah tertinggi yang disumbang seorang kanak-kanak daripada jualan buku.

Bercakap kepada MalaysiaGazette selepas menerima anugerah bersama ibunya, R Jayanthimarlin, Krishh melahirkan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut.
“Saya menulis sebab saya suka bercerita. Tapi bila saya tahu buku saya boleh bantu orang lain, saya rasa itu lebih bermakna daripada apa-apa kejayaan,” katanya teruja.
Anak muda itu turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang menjadi tulang belakang kepada pencapaiannya.
“Ibu dan ayah selalu ajar saya supaya jangan simpan bakat untuk diri sendiri saja.
“Mereka pesan, kalau Tuhan bagi rezeki atau kebolehan, kita mesti guna untuk kebaikan. Guru-guru saya pula sentiasa sokong saya menulis dan percaya saya boleh pergi jauh,” ujar Krishh lagi.
Beliau berkata, hasratnya untuk menyumbang kepada YSIJ lahir daripada rasa empati dan keinginan untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya masih kecil, tapi saya mahu buat perkara yang membawa kebaikan. Kalau buku saya boleh bantu lebih ramai orang, saya mahu terus menulis,” katanya.
Anugerah itu menjadi simbol bahawa kreativiti, empati dan nilai kebaikan yang diterapkan sejak kecil mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga prihatin terhadap masyarakat. – MalaysiaGazette















