Wan Rosdy Wan Ismail

PUTRAJAYA – Pahang kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL), kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut beliau, pelbagai mesyuarat di peringkat negeri telah dilaksanakan sebagai langkah mitigasi menghadapi fenomena tahunan itu, selain taklimat khas turut diberikan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita telah melakukan persiapan sehabis baik memandangkan banjir merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun. Namun, kita sentiasa bersedia pada tahap maksimum,” katanya ketika ditanyai mengenai kesiapsiagaan kerajaan negeri menghadapi MTL.

Wan Rosdy berkata demikian selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya anjuran Yayasan Pahang, hari ini.

Minggu lalu, Wan Rosdy memaklumkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan ramalan MTL yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah awal bagi memastikan aspek keselamatan penduduk serta kemudahan asas berada pada tahap terbaik, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan harapan agar bencana banjir yang dijangka berlaku tidak meragut sebarang nyawa rakyat Pahang.

“Walaupun tahun lalu berlaku banjir, namun tiada kemalangan jiwa direkodkan. Jadi pada tahun ini kita berharap dan berdoa agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi musim banjir yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Baginda bertitah, persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di kawasan berisiko sentiasa terjamin.

Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri terus meningkat apabila seramai 13,915 orang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak semalam.

Berdasarkan maklumat terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat jam 4 petang tadi, sebanyak 82 Pusat Pemindahan Sementara telah diaktifkan bagi menempatkan 4,844 keluarga. Negeri terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast