PUTRAJAYA – Pahang merekodkan peningkatan kebolehpasaran tenaga buruh apabila seramai 783,600 pekerja dicatatkan pada suku kedua tahun ini berbanding 768,600 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan penurunan kadar pengangguran daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus tahun lalu kepada 14,000 orang atau 1.8 peratus setakat ini.
Menurut beliau, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 5.7 peratus, mengatasi kadar nasional 5.1 peratus, menjadi antara faktor utama kepada pertambahan peluang pekerjaan di negeri itu.
“Pencapaian ini tidak datang secara kebetulan, tetapi hasil daripada kestabilan politik, peningkatan produktiviti dan urus tadbir yang berintegriti, sekaligus menambah keyakinan pelabur terhadap Pahang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Yayasan Pahang Advanced Skills, hari ini.
Wan Rosdy berkata, sehingga September lalu, Pahang berjaya menarik kemasukan pelaburan berjumlah RM17.43 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan tahun ini iaitu RM14.09 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, pentadbiran negeri juga berjaya menguruskan tahap hutang dengan berhemah apabila ia berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion kepada RM950 juta, meskipun terdapat sedikit kenaikan ketika ini namun ia tidak menjejaskan keupayaan pengurusan kewangan kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Rosdy turut menzahirkan rasa bangga terhadap peranan Yayasan Pahang yang terus menjadi pemangkin utama pembangunan modal insan, khususnya dalam membantu anak-anak Pahang daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kurang berkemampuan, Orang Asli dan golongan rentan.
Beliau berkata, Yayasan Pahang turut meraih pelbagai pengiktirafan membanggakan termasuk Anugerah C-Suite Leadership Excellence Award peringkat ASEAN tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju pembangunan pendidikan dan kemahiran di negeri itu.
“Skop Yayasan Pahang bukan sekadar pemberian biasiswa atau pinjaman pendidikan, tetapi turut merangkumi pembangunan menyeluruh modal insan dari program persediaan ke IPT, keusahawanan, tahfiz, latihan kemahiran (TVET), hingga kepada Program Jaminan Kerjaya yang menjadi tumpuan hari ini,” katanya.
Wan Rosdy menambah, alumni Program Jaminan Kerjaya menunjukkan kejayaan memberangsangkan apabila ramai berjaya memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum RM1,700 malah ada yang mencecah sehingga RM31,000 sebulan, membuktikan keberkesanan program berkenaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat. – MalaysiaGazette
















