KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi membidas keras kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa semakin ramai rakyat negeri itu meninggalkan Barisan Nasional (BN), sebaliknya menegaskan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya sudah “meninggal” di Sabah.
Menurut Puad, dakwaan Annuar itu disifatkan tersasar kerana hakikat di lapangan menunjukkan mereka yang sebelum ini menyertai PN kini mula meninggalkan gabungan terbabit, sekali gus mencerminkan kemerosotan sokongan terhadap PN.
“Sepatutnya dia terkejut kerana PN sudah meninggal di Sabah. Apabila ADUN-ADUN UMNO meninggalkan BN dan menyertai Bersatu/PN, UMNO tidak meninggal pun.
“Tetapi apabila ADUN-ADUN asal UMNO itu lari dari Bersatu dan tubuh GRS, tidakkah PN yang meninggal?” katanya dalam satu kenyataan.
Puad berkata demikian ketika mengulas pertemuannya dengan Annuar Musa yang sempat bertegur sapa ketika bersarapan di sebuah hotel, sebelum bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menyatakan rasa terdiam selepas dimaklumkan semakin ramai rakyat Sabah tidak lagi menyokong BN ketika berkempen untuk PAS di Karambunai.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan dakwaan Annuar yang mengatakan BN tidak berbuat apa-apa berhubung isu tiga serangkai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, khususnya isu bekalan elektrik yang membelenggu penduduk.
“Annuar mendakwa BN tidak buat apa-apa untuk isu tiga serangkai di Karambunai khususnya isu elektrik. Apa pula ADUN lantikan dari PAS buat di Karambunai?” soalnya.
Puad turut mengingatkan Annuar pernah memegang jawatan sebagai menteri luar bandar dari 1993 hingga 1999 dan seharusnya tempoh itu dimanfaatkan untuk membawa pembangunan serta menyelesaikan masalah asas di kawasan terbabit.
“Annuar kata, dia baru faham apabila seorang anak muda Sabah berkata: ‘Tiada sebab mau pilih BN sekarang. BN tidak seperti dulu bah.
“Sebenarnya Annuar yang ‘Sekali air bah, dia juga ikut berubah’. Dari dulu, kini dan selamanya. Tiada pendirian,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















